PETALING JAYA: Polis Pahang mengklasifikasikan kes dua pelajar bergaduh dengan seorang lelaki di luar sebuah sekolah di Bentong Jun lalu tiada tindakan lanjut (NFA) selepas bapa mangsa menarik balik laporan dibuatnya.
Pemangku Ketua Polis Bentong, Azmi Mahmod, berkata bapa mangsa berusia 38 tahun membuat laporan pada 16 Jun lalu mendakwa anaknya dipukul dan diugut dua pelajar.
Polis kemudian menahan dua pelajar itu yang berusia 15 dan 16 tahun pada hari sama bagi membantu siasatan.
Kedua-duanya direman sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Kes itu disiasat atas kesalahan sengaja mendatangkan kecederaan dan melakukan ugutan jenayah.
Azmi berkata, pihaknya telah merujuk semula kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya pada 15 Julai lalu untuk semakan lanjut.
Tetapi, timbalan pendakwa raya memutuskan tiada tindakan lanjut selepas bapa mangsa menarik balik laporannya dan tidak berhasrat meneruskan kes itu.
Polis bagaimanapun tidak menyatakan bila atau mengapa laporan itu ditarik balik.
