KUALA LUMPUR: Tropicana Corporation Bhd dan anak syarikatnya, Tropicana Residences Sdn Bhd, memenangi saman fitnah terhadap Tan Song Kwan berhubung beberapa video tular yang menunjukkan beliau merosakkan sebuah unit kondominium menggunakan tukul besi.
Pesuruhjaya Kehakiman Nixon Kennedy Kumbong hari ini memerintahkan Tan membayar RM300,000 sebagai jumlah keseluruhan ganti rugi am dan teruk, selain kos RM50,000 kepada kedua-dua syarikat itu.
Ganti rugi berkenaan turut dikenakan faedah 5% setahun bermula 11 Julai 2019, iaitu tarikh writ saman difailkan.
Saman itu berpunca daripada pertikaian mengenai kecacatan sebuah unit di pembangunan Tropicana KLCC apabila Tan, yang bertindak sebagai wakil seorang pembeli, mengambil tindakan sendiri dengan memecahkan beberapa bahagian unit berkenaan.
Kejadian itu dirakam dan kemudian tersebar secara meluas di media sosial, selain dilaporkan akhbar serta disiarkan di televisyen nasional.
Dalam keputusannya, Nixon mendapati pihak plaintif dikenal pasti dengan jelas dalam video dan kenyataan berkenaan yang berulang kali menyebut Tropicana serta wakil syarikat itu.
Mahkamah turut mendapati unsur penerbitan berjaya dibuktikan menerusi keterangan bahawa video itu diedarkan melalui Facebook dan WhatsApp, disiarkan di NTV7, selain tangkap layarnya diterbitkan dalam The Sun serta beberapa akhbar berbahasa Cina.
Dua saksi bebas memberi keterangan bahawa mereka melihat video berkenaan sebelum 25 Ogos 2019, dengan seorang daripada mereka menyifatkan rakaman itu sebagai tular dalam kalangan mereka yang mengikuti isu hartanah.
Hakim turut menolak dakwaan Tan bahawa pihak plaintif sendiri merakam video berkenaan dan cuai sehingga membiarkannya tersebar.
Mengenai unsur niat jahat, Nixon berkata persediaan Tan sebelum kejadian, termasuk mendapatkan tukul besi, topi keledar, sarung tangan dan cermin mata keselamatan, menyokong dapatan bahawa tindakannya dilakukan dengan niat sedemikian.
Tan juga mengakui beliau telah membuat persediaan untuk memecahkan bahagian unit berkenaan.
Mahkamah turut menolak hujah Tan yang bersandarkan kebebasan bersuara di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, dengan menyatakan hak itu tertakluk kepada sekatan undang-undang termasuk undang-undang berkaitan fitnah.
Pihak plaintif diwakili Nicholas Kow, Emile Ezra Hussain dan Nur Amelia Izlyn, manakala Tan diwakili Jessie Koh.
