KUALA LUMPUR: Penangguhan pembayaran balik kini diperluaskan kepada keluarga mangsa terjejas banjir di sepanjang sempadan Nepal-China baru-baru ini, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Menurutnya, bank, pengendali insurans dan takaful (ITO) berkaitan telah menghubungi keluarga terjejas susulan pertemuan BNM dengan waris mangsa pada 12 Okt lalu.
"Bergantung kepada keadaan khusus melibatkan keluarga terjejas, pihak bank dan ITO turut mempertimbangkan bantuan lanjut, seperti pengecualian bagi beberapa yuran dan caj, perlindungan aset dan deposit pelanggan serta kemudahan urusan tuntutan insurans/takaful.
"Oleh itu, keluarga terjejas digalakkan terus berurusan secara langsung dengan bank dan ITO masing-masing.
"Sekiranya memerlukan bantuan lanjut dan penjelasan, mereka boleh menghubungi institusi kewangan masing-masing," katanya dalam kenyataan.
Pada masa sama, BNM dan industri kewangan mengulangi kesediaan menghulurkan bantuan serta sokongan sewajarnya kepada keluarga mangsa, selaras undang-undang dan keperluan kawal selia berkuat kuasa.
Menurut bank pusat itu, ia akan terus memantau perkembangan semua usaha berkenaan.
