PETALING JAYA: Seorang penuntut ditemukan meninggal dunia pagi tadi di Universiti Sains Malaysia di Gelugor, Pulau Pinang, selepas disyaki terjatuh dari bangunan asrama.
Ketua Polis Timur Laut, Abdul Rozak Muhammad, berkata perempuan berusia 21 tahun itu menetap di asrama tersebut, dan ditemukan oleh petugas kebersihan pada kira-kira 7.25 pagi.
Perempuan itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. USM memaklumkan kejadian itu kepada polis pada kira-kira jam 8.40 pagi.
"Siasatan di tempat kejadian mendapati tiada terkesan sebarang unsur jenayah. Pemeriksaan lanjut pada tubuh badan si mati mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan luaran pada tubuh badan si mati disyaki akibat jatuh dari tempat tinggi," menurut kenyataan.
Mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat. Satu laporan mati mengejut dibuka untuk siasatan.
Jika anda atau seseorang yang anda kenali bergelut dengan masalah kesihatan mental, dapatkan bantuan. Berbincanglah dengan seseorang yang anda percayai atau hubungi Befrienders di talian 03-76272929.
