KUALA LUMPUR: Seramai 68 warga asing ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang, awal pagi tadi.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamsha Injau, berkata mereka terdiri 54 warga Thailand, termasuk tujuh lelaki dan 47 wanita, serta 14 lelaki Bangladesh berusia antara 20 hingga 55 tahun.
Dalam serbuan itu, imigresen turut mengesan selempang tertera harga sehingga RM3,000, selain RM1,000, RM500 dan serendah RM100.
Hamsha berkata, selempang itu dipercayai menunjukkan kadar bayaran untuk mendapatkan khidmat wanita, namun kegiatan di premis tersebut masih dalam siasatan.
“Antara kesalahan dikenal pasti ialah penyalahgunaan pas lawatan dan pelanggaran syarat pas kerja, termasuk bekerja di pusat hiburan menggunakan pas yang dikeluarkan untuk pekerjaan lain,” katanya pada sidang media selepas operasi.
Beliau berkata, risikan dijalankan selama dua hingga tiga bulan susulan aduan orang awam dan agensi lain.
Operasi bermula kira-kira 12.30 tengah malam tadi membabitkan 53 anggota imigresen dan sembilan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Seramai 113 individu diperiksa dan lima borang saman dikeluarkan kepada saksi.
Semua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut, dan tindakan akan diambil mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
