KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen DAP mempertahankan Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook susulan kritikan wakil rakyat kerajaan dan pembangkang terhadap inisiatif penjualan nombor pendaftaran kenderaan khas.
Howard Lee (PH-Ipoh Timor) berkata, hasil penjualan nombor pendaftaran dilaksanakan Kementerian Pengangkutan bawah kepimpinan Loke digunakan untuk membantu golongan memerlukan, termasuk pemandu teksi dan bas sekolah.
Beliau menyelar pihak yang mempertikaikan manfaat inisiatif itu, sambil menegaskan hasil jualan berkenaan disalurkan kepada rakyat dan bukan untuk kepentingan ahli politik.
"Inilah hasilnya bila kerajaan membuat langkah untuk jual plat. Hasil itu bukan pergi ke poket ahli politik, ia pergi ke poket pemandu teksi, janji tak sakau," katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Lee menjawab pertanyaan Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) mengenai sumber dana RM53 juta diperuntukkan kepada 53,000 pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah di seluruh negara.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2027 Jumaat lalu mengumumkan bantuan khas RM1,000 secara sekali bayar kepada 38,000 pemandu teksi dan kereta sewa serta 15,000 pemandu bas sekolah, susulan penjualan nombor pendaftaran khas siri 'H'.
Loke hari ini memaklumkan bantuan itu akan mula disalurkan pada Rabu, walaupun Belanjawan 2027 belum diluluskan, sekali gus mengundang kritikan pembangkang.
Sementara itu, RSN Rayer (PH-Jelutong) ketika mencelah ucapan Lee mendakwa terdapat wakil rakyat kerajaan yang bekerjasama secara senyap dengan pembangkang untuk menjatuhkan pentadbiran Anwar.
"Saya runsing ada pihak sebelah sini merancang dengan sebelah sana secara senyap untuk tumbangkan kerajaan," katanya tanpa menamakan mana-mana individu.
Rayer turut memberi amaran rakyat mungkin tidak dapat menikmati pelbagai bantuan diumumkan menerusi Belanjawan 2027 sekiranya kerajaan pimpinan Anwar tumbang.
