PETALING JAYA: Pemuda MCA menggesa kerajaan menjelaskan keputusan memilih Prosignal Consortium Sdn Bhd untuk membangunkan bersama sebuah aplikasi navigasi selepas melarang penjawat awam menggunakan Waze atas faktor keselamatan.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong, mempersoalkan sama ada tender terbuka dijalankan atau syarikat itu dilantik melalui mekanisme perolehan lain.

Beliau turut mempersoalkan kriteria, kelayakan teknikal dan proses penilaian yang digunakan untuk menentukan sama ada syarikat itu sesuai melaksanakan projek terbabit.
Katanya, kerajaan juga perlu menyatakan jumlah dana awam yang diperuntukkan bagi membangunkan aplikasi TuJu.
"Persoalan ini wajar mendapat jawapan jelas dan substantif, khasnya apabila membabitkan penggunaan sumber awam serta agensi kerajaan," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, walaupun MCA mengakui kebimbangan kerajaan terhadap Waze, tindakan pentadbiran "dilihat begitu agresif mempromosikan" TuJu menimbulkan persoalan berhubung keutamaan kerajaan, ketelusan serta justifikasi di sebalik sokongan terhadap platform khusus itu.
Menurutnya, pengguna media sosial menyuarakan kebimbangan terhadap prestasi navigasi TuJu dan pengalaman pengguna secara keseluruhan, dengan ada yang menyifatkannya mengelirukan serta tidak tepat.
Katanya, TuJu didapati kekurangan beberapa ciri yang lazimnya diharapkan pemandu daripada platform navigasi sedia ada, termasuk amaran had laju serta keserasian dengan Android Auto dan Apple CarPlay.
Neow berkata, kelemahan sedemikian menimbulkan kebimbangan terhadap tahap kesediaan, fungsi dan daya saing aplikasi itu sebagai alternatif praktikal kepada Waze.
"Adakah aplikasi itu menjalani ujian menyeluruh dan penilaian teknikal bebas sebelum kerajaan memberi sokongan kepadanya?
"Adakah ketepatan, kebolehpercayaan, ciri keselamatan dan keserasiannya dengan kenderaan moden dinilai sewajarnya?" soalnya sambil menambah keyakinan orang ramai terhadap aplikasi yang dipromosikan kerajaan bergantung kepada prestasi dan kualiti terbukti, bukan sekadar promosi semata-mata.
Semalam, kerajaan dilaporkan melarang penjawat awam menggunakan Waze, yang dibangunkan di Israel.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menyuarakan kebimbangan berhubung keselamatan data peribadi dan maklumat pergerakan pengguna yang dikumpul Waze memandangkan aplikasi itu tertakluk kepada undang-undang kerajaan Israel.
Beliau kemudiannya menggalakkan rakyat mempertimbangkan penggunaan TuJu, aplikasi navigasi tempatan yang dibangunkan bersama oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia.
