PETALING JAYA: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Rusdi Isa berkata seramai 15 individu dirakam keterangan dalam siasatan berhubung dakwaan kegagalan MyEG Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd memindahkan kutipan hasil kerajaan berjumlah RM230.9 juta.
Katanya, individu terbabit terdiri daripada 12 pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan tiga pegawai bank, lapor Bernama.
Beliau berkata siasatan dimulakan susulan satu laporan polis pada 7 Okt, berkaitan transaksi kewangan hasil kerajaan melibatkan kedua-dua syarikat di bawah Kumpulan MyEG tersebut.
Rusdi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Siasatan tersebut dibuat ekoran pendedahan MyEG dan Zetrix, yang bertindak sebagai ejen kutipan bagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), mempunyai tunggakan hasil dikutip sebanyak RM314 juta.
Minggu lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berkata ia akan bekerjasama dengan polis menyiasat tunggakan RM314 juta oleh MyEG dan Zetrix kepada JPJ.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, berkata Zetrix telah diserahkan 35 notis untuk menjelaskan jumlah tunggakan tersebut.
Beliau juga berkata, Zetrix telah mengemukakan cek bernilai RM231 juta pada Ogos, namun pihak bank kemudiannya memaklumkan kepada JPJ bahawa cek itu tidak dapat diproses atas arahan syarikat berkenaan.
Justeru, JPJ bertindak menggantung MyEG dan Zetrix sebagai ejen kutipan fi dan saman jabatan berkenaan.
