PETALING JAYA: Kumpulan reformasi institusi Bersih menggesa penggubalan undang-undang baharu untuk mengawal selia parti politik secara berasingan daripada pertubuhan lain, susulan kontroversi pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM).
Pengerusi Bersih, Faisal Abdul Aziz, berkata pertikaian itu menonjolkan keperluan untuk merombak undang-undang dan institusi yang mengawal selia parti politik, yang ketika ini didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1966.
"Apabila parti politik berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966, persoalan boleh berbangkit tentang kebebasan Pendaftar Pertubuhan dari pengaruh eksekutif walaupun Seksyen 3 (1) Akta tersebut secara jelas menyatakan pelantikan pendaftar hanya dibuat Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan.
Faisal berkata Akta Parti Politik yang khusus akan menjadi penyelesaian jangka panjang yang lebih sesuai, sekali gus membolehkan parti politik didaftarkan dan dikawal selia secara berasingan daripada pertubuhan lain.
Dengan merujuk Akta Parti Politik Kenya 2011 sebagai contoh, pengerusi Bersih itu berkata akta berkenaan menggariskan kaedah penubuhan dan keanggotaa jawatankuasa pemilih yang bertanggungjawab untuk melantik Pendaftar Parti Politik.
"Keanggotaanya meliputi pihak yang dilantik presiden dan bukan eksekutif, wakil Persatuan Peguam, wakil parti politik mewakili parlimen dan Senat dan pemepegang taruh lain,” katanya sambil menambah bahawa calon yang dicadangkan dikemukakan kepada Parlimen Kenya untuk mendapat kelulusan.
Faisal berkata skop undang-undang khusus sedemikian perlu melangkaui pelantikan pendaftar dan merangkumi prosedur pembentukan gabungan politik, sama ada sebelum atau selepas pilihan raya.
"Akta ini turut berperanan mengawal selia kewangan parti politik dengan kewajipan untuk parti politik mengisytiharkan aset, perbelanjaan, sumbangan dana politik," katanya.
Beliau turut mencadangkan penubuhan satu tribunal khas untuk mengadili pertikaian yang wujud antara ahli dalam parti, antara ahli dan parti, dan antara anggota gabungan politik, sebagai ruang untuk pihak terlibat mendapatkan keadilan dan hak untuk didengari.
Pada Khamis, Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan pembatalan pendaftaran PN sementara menunggu keputusan semakan kehakiman gabungan itu terhadap JPPM.
JPPM dan Menteri Dalam Negeri kemudiannya memfailkan rayuan terhadap penangguhan itu.
PN memfailkan permohonan semakan kehakimannya pada 5 Okt, bagi mengetepikan notis yang menghendaki gabungan itu menjelaskan mengapa pendaftarannya tidak patut dibatalkan, serta satu lagi notis berasingan yang menggantung aktivitinya untuk tempoh yang tidak ditetapkan.
Permohonan itu difailkan oleh setiausaha agung lima parti komponen PN, tidak termasuk Bersatu.
