
Industri bas ekspres negara kini berdepan satu lagi beban kawal selia yang menimbulkan persoalan besar mengenai persaingan, kebebasan komersial dan sejauh mana kerajaan memahami operasi sebenar pengangkutan awam.
Pada 16 Okt, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook mengumumkan dasar yang menetapkan semua tiket bas ekspres mesti dijual hanya melalui terminal bas berlesen.
Ketua pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) kemudian mengeluarkan pekeliling mengarahkan pengusaha bas mematuhi ketetapan itu mulai 1 Nov 2026, sekali gus memberi mereka tempoh hanya lebih dua minggu untuk membuat persediaan.
Implikasinya bukan kecil.
Ini bukan sekadar perubahan dalam kaedah penjualan tiket. Ia memindahkan kawalan jualan tiket daripada pengusaha bas kepada pengendali terminal dan mewujudkan satu lagi lapisan kawalan komersial dalam industri yang sudah berdepan peningkatan kos operasi.
Persoalan paling asas ialah mengapa pengendali terminal perlu diberi hak eksklusif menjual tiket bagi perkhidmatan bas yang bukan mereka kendalikan?
Adakah Malaysia Airlines dan AirAsia akan bersetuju sekiranya pengendali KLIA diberi hak eksklusif menjual tiket penerbangan mereka?
Menarik juga untuk mengetahui reaksi pemilik dan CEO syarikat penerbangan sekiranya Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia mengeluarkan arahan sedemikian dan memberi tempoh hanya dua minggu untuk dipatuhi.
Tiada apa yang luar biasa jika pengendali terminal mengenakan caj terminal atau fi perkhidmatan penumpang. Namun, memberi mereka kawalan eksklusif terhadap penjualan tiket adalah perkara yang sama sekali berbeza.
Cadangan itu sukar dipertahankan dan bukanlah amalan biasa di tempat lain.
Terminal sepatutnya menyediakan kemudahan kepada perkhidmatan bas, bukannya mengawal jualan tiket mereka.
Industri bas ekspres Malaysia sejak sekian lama terikat dengan pendekatan perancangan pengangkutan awam yang terlalu berpusat kepada terminal.
Pengusaha diwajibkan menggunakan terminal tertentu tanpa mengambil kira sama ada lokasinya benar-benar mudah untuk penumpang atau mempunyai hubungan baik dengan sistem pengangkutan lain.
Pada masa sama, banyak terminal berkembang menjadi projek hartanah komersial yang melibatkan pelaburan besar dalam bangunan dan kemudahan, sekali gus perlu menjana pulangan.
Pengusaha bas perlu membayar caj terminal, manakala penumpang pula terpaksa menanggung kesulitan serta kos tambahan untuk pergi ke terminal yang mungkin tidak mempunyai perhubungan baik dengan destinasi sebenar mereka.
Keadaan menjadi lebih bermasalah apabila pengendali terminal turut diberikan kawalan eksklusif ke atas penjualan tiket.
Di bawah arahan baharu Apad, pengendali terminal akan mempunyai hak tunggal menjual tiket bagi perkhidmatan bas ekspres yang beroperasi dari terminal mereka. Mereka juga akan bertanggungjawab mengurus perjalanan, pelepasan bas dan transaksi penjualan tiket.
Ini menimbulkan satu lagi persoalan.
Jika pengusaha bas bertanggungjawab menjalankan perkhidmatan, menyelenggara kenderaan, menggaji pemandu dan mematuhi syarat keselamatan, mengapa mereka perlu menyerahkan kawalan terhadap jualan tiket sendiri?
Terminal menyediakan infrastruktur. Pengusaha bas pula menyediakan perkhidmatan pengangkutan.
Kedua-duanya menjalankan fungsi komersial yang berbeza. Tiada alasan kukuh untuk menggabungkannya melalui satu ketetapan wajib yang memberi satu pihak kawalan ke atas aliran pendapatan pihak lain.
Kementerian Pengangkutan wajar meneliti semula arahan Apad ini dengan serius sebelum ia berkuat kuasa.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
