KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti jenis barangan yang menyumbang kepada defisit dagangan Malaysia sebanyak RM146 bilion dengan China, khususnya bagi mengenal pasti bagaimana produk import menggantikan pengeluaran tempatan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Ghani berkata Malaysia merekodkan lebihan dagangan RM100 bilion dengan Amerika Syarikat pada 2025, namun mengalami defisit RM146 bilion dengan China.
“Sebab itu, tumpuan kita sekarang adalah untuk meneliti semua produk yang menyumbang kepada defisit dagangan besar dengan China,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
“Kita mahu tahu mengapa syarikat yang sebelum ini menghasilkan barangan tersebut, yang kini banyak diimport dari China, tidak lagi mampu berbuat demikian dan mengapa ada yang menutup kilang.”
Johari kesal kerana Malaysia terlalu memilih jalan mudah dengan mengimport barangan pada harga lebih murah berbanding menghasilkannya sendiri.
Beliau memberi amaran bahawa apabila pengeluar tempatan menutup operasi, Malaysia akan semakin bergantung kepada pembekal asing yang kemudiannya boleh menaikkan harga barangan.
“Kita perlu mengambil langkah yang sangat tegas untuk melindungi ekonomi dan mengurangkan kebergantungan kepada negara asing,” katanya.
Beliau menjawab soalan mengenai risiko kebergantungan Malaysia terhadap pasaran eksport utama seperti AS dan China ketika ketegangan perdagangan semakin meningkat serta pelaksanaan tarif lebih tinggi.
Terdahulu, Johari berkata kerajaan mahu lebih banyak syarikat tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), menghasilkan bahan mentah serta produk separuh siap yang ketika ini diimport oleh industri elektrik dan elektronik (E&E).
Katanya, penglibatan lebih meluas pengeluar tempatan dalam rantaian bekalan E&E dapat membantu mengurangkan import, sekali gus meningkatkan lebihan dagangan negara.
