PETALING JAYA: Kerajaan belum bersedia untuk mewujudkan suatu perundangan khusus bagi meyalurkan peruntukan pembangunan kawasan yang saksama untuk semua Ahli Parlimen, mengatakan cadangan itu merupakan perkara dasar yang perlu diteliti secara menyeluruh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Mustapha Sakmud berkata pendekatan kerajaan ketika ini adalah memastikan pembangunan dan kesejahteraan rakyat terus diberi keutamaan tanpa mengira kawasan.
"Peruntukan bagi projek, kemudahan awam dan program yang memberi manfaat kepada rakyat terus disalurkan melalui mekanisme kerajaan yang berkuat kuasa berdasarkan keperluan dan keutamaan kawasan," katanya dalam jawapan bertulis di laman Parlimen.
Mustapha menjawab pertanyaan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) tentang sejauh mana kerajaan bersedia menggubal akta peruntukan pembangunan kawasan yang saksama untuk semua Ahli Parlimen.
Pada Ogos, DAP menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyediakan peruntukan yang sama rata kepada semua Ahli Parlimen, dan seterusnya menggubal undang-undang bagi menjamin peruntukan itu secara kekal.
Pengerusi DAP Gobind Singh Deo menegaskan partinya komited melaksanakan janji berkenaan seperti terkandung dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan.
