KUALA LUMPUR: Pengusaha bas ekspres tidak akan terjejas dengan peraturan baharu yang mengehadkan penjualan tiket kepada terminal berlesen, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.
Loke berkata langkah itu bertujuan mengawal selia ejen tiket dalam talian, yang kebanyakannya berpangkalan di luar negara dan mengenakan komisen tanpa menyediakan perkhidmatan terminal.
Katanya, ejen berkenaan tidak dilesenkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad), menyebabkan pihak berkuasa sukar mengambil tindakan apabila timbul masalah operasi, termasuk isu bayaran balik jika perkhidmatan bas tidak disediakan.
“Kalau perkhidmatan tidak diberikan atau ada masalah berkaitan bayaran balik, kita tidak boleh mengawal selia mereka,” katanya pada sidang media sempena Transport Expo Asia 2026.
Peraturan baharu Apad menetapkan tiket bas ekspres hanya boleh dijual melalui terminal berlesen mulai 1 Nov.
Langkah itu mendapat kritikan Persatuan Pengusaha Bas Se-Malaysia. Presidennya, Ashfar Ali, berkata pengusaha tidak dirunding sebelum keputusan dibuat selain membangkitkan kebimbangan mengenai persaingan tambang dan pelaburan yang sudah dibuat dalam sistem tempahan sedia ada.
Dalam perkembangan berasingan, Loke berkata Kementerian Pengangkutan sedang merangka pindaan kepada Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 bagi menangani kesalahan termasuk kecurian kabel.
Katanya, cadangan pindaan itu masih dalam proses penyediaan sebelum dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk semakan.
Bagaimanapun, Loke menegaskan hukuman lebih berat sahaja tidak mencukupi untuk menyelesaikan masalah itu tanpa langkah pencegahan yang berkesan.
Beliau berkata Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan pengendali rel lain sedang meneliti penggunaan teknologi pencegahan, termasuk pemantauan CCTV, bagi membendung kecurian kabel.
