PETALING JAYA: Bekas pengerusi Yayasan Bank Rakyat Nazir Hussin Akhtar Hussin enggan menerima notis pengisytiharan harta daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Pesuruhjaya SPRM Abd Halim Aman berkata, Nazir enggan menerima notis itu dengan alasan beliau telah memfailkan permohonan injunksi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menghalang pelaksanaan perintah di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009.
Menurut sumber, perkara itu berlaku di ibu pejabat SPRM hari ini, di mana Nazir bersama isteri dan pembantunya dipanggil bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kedudukan dalam urusan pelaburan bernilai kira-kira RM10 juta.
Sumber itu berkata, keterangan isteri dan pembantu Nazir telah dirakam, manakala notis berkenaan diserahkan kepada Nazir.
Abd Halim berkata, proses merakam keterangan isteri dan pembantu Nazir itu mengambil masa selama sejam setengah.
“Beliau (Nazir), isteri dan pembantunya tiba di SPRM kira-kira 11 pagi tadi dan isteri serta pembantunya telah dilepaskan pada 1.15 petang tadi,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan sama ada Nazir turut dilepaskan.
BERITA LANJUT MENYUSUL
