KUALA LUMPUR: Empat Ahli Parlimen dilantik menganggotai Majlis Perkhidmatan Parlimen yang pertama susulan usul dibentangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Mereka terdiri daripada dua Ahli Parlimen masing-masing daripada blok kerajaan dan pembangkang, iaitu Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor), Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam), Ronald Kiandee (PN-Beluran) dan Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu).
Usul itu diluluskan melalui undian suara di Dewan Rakyat hari ini, selepas keempat-empat Ahli Parlimen itu dicalonkan oleh Jawatankuasa Pemilih Parlimen yang bermesyuarat semalam.
Di bawah Akta Perkhidmatan Parlimen 2025, empat Ahli Parlimen itu akan terlibat dalam keputusan berkaitan pelantikan kakitangan Parlimen, gaji, syarat pekerjaan, kewangan dan latihan.
Mereka masing-masing mempunyai satu undi dalam majlis itu, yang akan membuat keputusan berdasarkan majoriti mudah.
Majlis itu akan dipengerusikan bersama oleh speaker Dewan Rakyat dan presiden Dewan Negara. Anggota lain termasuk timbalan speaker, senator serta pegawai kanan kerajaan dan Parlimen.
Akta yang berkuat kuasa pada 1 Okt itu memberikan Parlimen kawalan lebih besar terhadap urusannya sendiri, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam pengurusan kakitangan, kewangan dan pentadbiran.
Kerajaan berkata perubahan itu membolehkan kakitangan Parlimen menjalankan tugas dengan lebih bebas, khususnya ketika membantu jawatankuasa Parlimen menyoal pegawai kanan kerajaan.
Undang-undang itu mengembalikan sistem yang diperkenalkan pada 1963 tetapi dimansuhkan pada 1992, apabila pentadbiran Parlimen diletakkan di bawah kerajaan.
