PETALING JAYA: Remaja dipercayai menyerang seorang guru menggunakan kapak di Sekolah Antarabangsa Tunku Putra-HELP (TPH) hari ini bukannya pelajar aktif institusi itu.
TPH berkata, pelajar itu kini dalam tahanan polis susulan serangan pagi tadi.
"Kes tersebut masih dalam siasatan polis dan pihak sekolah akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berkaitan," katanya menurut Sinar Harian.
Terdahulu, polis mengesahkan menerima panggilan kecemasan pada 8.03 pagi berhubung seorang remaja lelaki 16 tahun yang dilaporkan membawa mercun dan mencederakan seorang guru wanita menggunakan kapak di sebuah sekolah swasta di Kuching.
TPH berkata, guru wanita itu tidak mengalami kecederaan kritikal dan kini dalam keadaan stabil serta semakin pulih selepas mendapatkan rawatan di hospital.
"TPH amat menghargai keberanian serta ketenangan yang ditunjukkan guru terbabit ketika insiden berlaku dan mendoakan beliau pulih sepenuhnya."
Menurutnya, tiga anggota polis bantuan akan ditempatkan di kawasan sekolah serta-merta dan pemeriksaan keselamatan bersesuaian akan dijalankan terhadap individu yang memasuki kawasan sekolah.
"Pihak sekolah juga sedang meneliti langkah keselamatan jangka panjang lebih menyeluruh untuk dilaksanakan di kawasan sekolah."
Katanya, operasi sekolah akan diteruskan seperti biasa esok selepas mendapat kebenaran pihak berkuasa berkaitan dan mereka akan menjelaskan kejadian hari ini kepada pelajar dalam perhimpunan, selain memberi jaminan berkaitan aspek keselamatan serta menjawab sebarang kebimbangan dibangkitkan.
Sementara itu, Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Saifullizan Ishak mengesahkan pelajar itu melakukan penstriman langsung ketika melakukan serangan.
Bagaimanapun, beliau berkata, video tular selama 12 minit 6 saat itu sudah diturunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.
