Lima rakyat Malaysia berusia 19 hingga 26 tahun yang ditahan di Haneda dengan 5kg kokain dalam kasut dipercayai keldai dadah dibayar RM8,000 seorang.
JOHOR BAHRU: Lima rakyat Malaysia yang ditahan menyembunyikan lima kilogram kokain di dalam pelapik kasut di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda, Tokyo, Jepun pada 10 Okt lepas, dipercayai keldai dadah dan menerima ganjaran RM8,000 seorang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata suspek berusia 19 hingga 26 tahun itu masing-masing diberikan kasut berkenaan oleh sindiket dadah yang sedang dikenal pasti.
“Kita percaya suspek mengetahui apa yang mereka bawa, iaitu benda menyalahi undang-undang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya sedang mengenal pasti sama ada kesemua suspek terlibat secara langsung dalam sindiket itu serta kebarangkalian pernah ke negara lain dengan menggunakan modus operandi yang sama.
Bagaimanapun beliau berkata hasil siasatan awal mendapati kelima-lima suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Hussein berkata kesemua suspek termasuk pasangan suami isteri, pada awalnya dipercayai ke Jepun untuk tujuan melancong sebelum ditahan pihak berkuasa negara itu.
“Kumpulan ini diketuai suami kepada wanita berkenaan dan wanita itu mengajak kawan-kawan bercuti di Jepun dan masing-masing diberikan sepasang kasut dipercayai diisi dadah lebih awal,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata seorang lagi rakyat Malaysia yang juga ejen pelancongan tidak ditahan kerana dikenal pasti tidak terlibat dalam kes berkenaan.
Sebelum ini kumpulan itu berlepas dari Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Tokyo dan ditahan pihak berkuasa kastam Jepun selepas menjumpai dadah berkenaan.
JSJN kemudian menghantar pasukan ke Jepun bagi menjalankan siasatan dan mendapatkan maklumat kes berkenaan.
Sementara itu, mengenai perkembangan rampasan dadah di Laos, Hussein mengesahkan dadah berkenaan yang dibawa menggunakan pesawat peribadi, dikenal pasti telah ditempah oleh dua warganegara Filipina.
Beliau berkata pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA) bagi mengesan individu dan sindiket terlibat.
PDRM juga sedang menunggu pengesahan sama ada sindiket itu turut melibatkan ahli politik di Filipina seperti laporan media negara berkenaan.
Pada 1 Okt lepas, polis Laos merampas 521 kilogram kristal methamphetamine dalam sebuah jet persendirian Learjet yang tiba dari Subang di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang, Laos.
Susulan kejadian itu, 13 individu termasuk warganegara Malaysia, Singapura dan Filipina ditahan oleh pihak berkuasa Laos bagi membantu siasatan kes penyeludupan dadah rentas negara berkenaan.
Pada 7 Okt lepas, polis menahan seorang lelaki tempatan yang juga pemilik jet peribadi terbabit dalam serbuan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah.
