Bahasa Melayu perlu dimartabatkan secara konsisten menerusi pelbagai platform tanpa mengabaikan bahasa Inggeris, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek.
MELAKA: Bahasa Melayu perlu dimartabatkan secara konsisten tanpa mengabaikan bahasa Inggeris dalam kalangan generasi muda, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek.
Beliau berkata ia perlu diperkukuh menerusi pelbagai platform, termasuk pertandingan pidato bagi memberi ruang kepada penuntut institusi pengajian tinggi menyampaikan pandangan mereka dengan hujah bernas serta berlandaskan ilmu.
“Dasar memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuh bahasa Inggeris adalah dasar yang sangat penting untuk negara.
“Kami perlu konsisten memastikan penggunaan, pengayaan dan peluasan kemahiran bahasa Melayu terus menjadi sebahagian daripada agenda nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertandingan Akhir Pidato Arena Wacana Aspirasi Mahasiswa Peringkat Institusi Pengajian Tinggi bersempena Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2026 di Dewan Auditorium Bangunan Canselori Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Durian Tunggal di sini hari ini.
Pertandingan pidato itu dimenangi penuntut tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Putra Haikal Ikhwansyah Nafarulzian, yang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.
Naib juara pula disandang penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia Proses Kimia Industri, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Yang Asyraf Asyran Rashidi, yang memperoleh hadiah wang tunai RM800.
Fadhlina berkata pertandingan pidato dianjurkan bukan sahaja bertujuan memastikan bahasa kebangsaan terus digunakan, malah berupaya memperkaya kosa kata serta meningkatkan kemahiran berbahasa dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata ia turut memainkan peranan penting dalam membentuk budaya ilmu, terutama apabila generasi muda perlu berupaya menyampaikan pandangan secara tersusun, berhemah dan disokong hujah yang kukuh.
