PETALING JAYA: Remaja lelaki yang dituduh mencuri motosikal disyaki dikurung dan dipukul selama dua hari, sebelum mayatnya dibuang di tepi semak berdekatan Jalan Harvard Golf Club, Gurun, Khamis lalu.
Ketua Polis Kedah Adzli Abu Shah, berkata susulan itu 14 suspek berusia 16 hingga 24 tahun direman.
Katanya, kejadian dipercayai berpunca daripada kemarahan suspek selepas menerima aduan penduduk tempatan yang mendakwa mangsa mencuri motosikal.
Menurut Kosmo, mangsa berusia 19 tahun dipercayai dilarikan sekumpulan suspek pada Isnin lalu lalu dikurung dan dipukul di sebuah rumah di Gurun.
“Mangsa dituduh mencuri motosikal, namun ia tuduhan tanpa ada laporan polis dibuat. Mereka tangkap suspek ini pada Isnin lalu dan bawa balik ke rumah salah seorang tangkapan di Gurun," katanya pada sidang media di IPK Kedah, Alor Setar.
Adzli berkata, rambut mangsa juga digunting sebelum meninggal dunia pada malam Rabu lalu.
“Mayat mangsa kemudian dibuang di tepi jalan dekat Jalan Harvard Golf Club sebelum ditemukan oleh orang awam. Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan kecederaan hentakan di kepala oleh daya objek tumpul."
Adzli berkata, polis berjaya menahan semua suspek di sekitar Gurun dan Guar Chempedak, antara 12 tengah hari hingga 8.30 malam pada hari sama.
Dalam tangkapan itu, polis turut merampas 14 telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah kereta Honda City berwarna perak, gunting, dan kad pengenalan milik mangsa.
“Saya ingin menasihatkan kepada orang ramai supaya tidak bertindak sendiri kepada mana-mana suspek bagi sebarang jenis jenayah, termasuk mencuri mahupun merompak," katanya.
