PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) akan menyelesaikan isu tidak puas hati agihan kerusi PRN Melaka melibatkan MCA sebelum hari penamaan calon.
Pengerusi Zahid Hamidi memberi jaminan rundingan berhubung senarai calon MCA masih boleh diteruskan.
Beliau mengesahkan Presiden MCA Wee Ka Siong terkejut apabila tidak dimaklumkan lebih awal berhubung pengumuman calon pada majlis di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Melaka, malam tadi.
"Benar, beliau (Wee) pun terkejut kerana tidak dimaklumkan oleh urus setia mengenai pengumuman calon itu. Bagaimanapun, masalah ini akan kita selesaikan, kita akan adakan perbincangan sebelum 31 Okt," katanya memetik Berita Harian.
Zahid yang juga presiden Umno berkata demikian kepada pemberita pada program Larian Jambatan Sultan Nazrin Shah Daerah Bagan Datuk.
Beliau ketika mengulas lanjut, berkata pihaknya menyerahkan perkara berkenaan kepada Pengerusi BN Melaka Ab Rauf Yusoh.
"Saya serahkan kepada Rauf kerana mungkin beliau sudah berbincang dengan pengerusi dan kepimpinan MCA Melaka. Ada peluang lagi jika calon-calon itu tidak dipersetujui kerana saya belum menandatangani watikah. Jadi, terserah kepada presiden MCA untuk melakukannya," katanya.
Terdahulu, media melaporkan pemimpin MCA bertindak meninggalkan majlis pengumuman calon BN malam tadi kerana tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan berkaitan pengagihan kerusi.
Wee berkata, kerusi pernah ditandingi parti itu telah diberikan kepada parti lain tanpa sebarang rundingan, meskipun MCA merupakan parti komponen BN sejak sekian lama.
BN mengumumkan bertanding di 21 kerusi pada PRN Melaka, sementara baki tujuh kerusi diserahkan kepada PAS dan rakan gabungan dalam Perikatan Nasional (PN).
