PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) dijangka dapat mempertahankan 21 kerusi yang dimenanginya di PRN Melaka pada 2021 dan menambah tiga hingga empat lagi kerusi DUN, kata penganalisis Ong Kian Ming.
Bekas pemimpin DAP itu berkata ramalan itu berdasarkan sentimen dan momentum yang dimiliki BN ketika ini. Beliau turut menjangkakan BN akan merampas satu atau dua kerusi daripada Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata dua kawasan PH yang berkemungkinan tewas ialah kerusi Bukit Katil yang disandang bekas ketua menteri, Adly Zahari, dan kubu kuat DAP di Ayer Keroh, lapor Berita Harian.
"Ada kemungkinan BN boleh naik daripada 21 kepada 24 atau 25 kerusi kerana saya berasakan BN akan bekerjasama dengan PAS.
"Saya rasa tidak semua lima kerusi PH akan dirampas BN, tetapi mungkin satu dua kerusi akan kalah... kerusi disandang Adly dan juga mungkin Ayer Keroh. Saya berasakan dua kerusi ini berada di dalam keadaan amat bahaya untuk PH," katanya.
Ong berkata BN mempunyai kelebihan di Melaka berikutan PH tidak mempunyai naratif yang konsisten khususnya dalam pendekatan kerjasama dengan gabungan lain.
Katanya, PKR dan Amanah menyatakan hasrat untuk terus bekerjasama dengan BN, tetapi DAP konsisten dakwa PH akan bertanding solo.
"Ini akan menyebabkan pengundi keliru," katanya.
Pengundi Melaka akan keluar mengundi pada 14 Nov. Setakat ini, belum ada pakatan yang diumumkan secara rasmi bagi PRN itu.
Pada PRN Melaka 2021, BN memenangi 21 kerusi, manakala PH memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional dua kerusi. Bagaimanapun, seorang Adun Umno, Jailani Khamis (Rembia), menyertai PAS sebelum undang-undang antilompat parti negeri itu berkuat kuasa.
