KUALA LUMPUR: BDS Malaysia menyambut baik arahan kerajaan melarang penjawat awam daripada menggunakan aplikasi navigasi Waze serta gesaan agar orang ramai turut menghentikan penggunaan aplikasi navigasi tersebut.
Dalam satu kenyataan, organisasi itu memaklumkan, pihaknya menyokong arahan berkenaan berikutan penggunaan Waze dibimbangi boleh menjejaskan keselamatan negara dan kedaulatan Malaysia.
“Kami menyokong sepenuhnya arahan ini yang dikeluarkan demi mengelakkan keselamatan dan kedaulatan negara daripada disalahgunakan oleh Waze, sebuah syarikat berpangkalan di Israel, demi kepentingan rejim aparteid Zionis yang melakukan pembunuhan beramai-ramai,” menurut kenyataan itu.
BDS Malaysia turut menggesa kerajaan supaya terus konsisten dalam menangani isu keselamatan negara.
BDS Malaysia merupakan sebahagian gerakan global Boikot, Pelaburan Keluar dan Sekatan (Boycott, Divestment and Sanctions - BDS), yang memperjuangkan pelaksanaan boikot, penarikan pelaburan dan sekatan terhadap Israel sebagai usaha menyokong hak rakyat Palestin.
Pada Rabu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan penjawat awam supaya berhenti menggunakan Waze berikutan kebimbangan maklumat sensitif kerajaan dan data peribadi boleh dieksploitasi oleh Israel.
