PETALING JAYA: Semua sekolah diminta sentiasa berwaspada susulan penemuan bungkusan mencurigakan di beberapa sekolah di Negeri Sembilan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata keselamatan warga sekolah perlu diutamakan, sambil memuji tindakan pantas polis memastikan keselamatan di kawasan sekolah terpelihara.
“Saya rasa kita perlu mengambil pendekatan berwaspada terhadap semua penemuan, terutama dari aspek keselamatan. Perkara ini mesti dititikberatkan,” katanya selepas merasmikan pertemuan Kelab Perempuan Membaca ‘Fadhlina Membaca’ di Melaka.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada polis, pihak sekolah dan pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atas langkah diambil bagi memastikan keselamatan.
Fadhlina berkata, semua pengetua, guru besar dan warga sekolah perlu sentiasa bersedia menghadapi sebarang perkara yang boleh menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan.
Mengulas penemuan bungkusan itu, beliau berkata ia diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.
Semalam, polis menerima sembilan laporan berhubung penemuan bungkusan mencurigakan di beberapa sekolah di Nilai dan Tampin.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Alzafny Ahmad, dilaporkan berkata pemeriksaan mendapati semua kotak berkenaan mengandungi tepung gandum dan pinggan plastik.
Katanya, polis mendapatkan bantuan Unit Pemusnah Bom (UPB) untuk menjalankan pemeriksaan dan mengambil langkah keselamatan sewajarnya.
Pemeriksaan tidak menemukan sebarang bahan letupan atau berbahaya, manakala siasatan diteruskan bagi mengenal pasti individu bertanggungjawab menghantar atau meninggalkan bungkusan itu serta menentukan motif kejadian.
