PETALING JAYA: Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin menggesa kerajaan merujuk pakar industri dan teknologi navigasi sebelum mengambil langkah mengharamkan penggunaan aplikasi navigasi popular, Waze.
Setiausaha publisiti DAP itu berkata, keputusan dasar sedemikian tidak seharusnya dibuat secara tergesa-gesa kerana ia akan menjejaskan enam juta pengguna jalan raya di Malaysia yang bergantung pada Waze untuk mencari rezeki, perjalanan harian atau urusan logistik.
Mengakui kebimbangan berhubung asal usul aplikasi itu dari Israel, Yeo mempersoalkan mengapa negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) masih belum melaksanakan larangan serupa.
“Arab Saudi, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait dan Qatar tidak mengharamkan Waze. Namun, negara-negara ini terletak berhampiran secara geografi dengan kawasan konflik dan mempunyai protokol keselamatan negara yang ketat.
“Larangan yang dibuat secara reaktif berisiko menyebabkan gangguan yang tidak perlu kepada orang ramai, menjejaskan aktiviti ekonomi dalam sektor ekonomi gig serta merosakkan reputasi landskap digital Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Bekas menteri itu turut mempersoalkan sama ada kerajaan menjangkakan sebuah badan berkanun seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mampu membangunkan, mengoptimumkan dan menyelenggara platform navigasi berasaskan sumbangan pengguna yang setanding dengan syarikat teknologi global.
Katanya, membangunkan sistem navigasi yang cekap dan memastikan data peta sentiasa dikemas kini memerlukan operasi berskala besar, penambahbaikan teknologi secara berterusan serta pasukan jurutera khusus.
Beliau turut merujuk Korea Selatan dimana aplikasi navigasi tempatan seperti Naver Map dan KakaoMap dibangunkan serta dikembangkan oleh syarikat teknologi gergasi tempatan, bukannya agensi kerajaan.
Rabu lalu Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan penjawat awam supaya berhenti menggunakan Waze berikutan kebimbangan maklumat sensitif kerajaan dan data peribadi boleh dieksploitasi oleh Israel.
