Polis terima sembilan laporan penemuan bungkusan mencurigakan di sekolah di Nilai dan Tampin. Pemeriksaan mendapati kotak berisi tepung gandum dan pinggan plastik.
SEREMBAN: Polis menerima sembilan laporan berhubung penemuan bungkusan mencurigakan di beberapa sekolah di Nilai dan Tampin hari ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata hasil pemeriksaan mendapati kesemua kotak itu mengandungi tepung gandum dan pinggan plastik.
“Hasil siasatan mendapati bentuk bungkusan dan kandungan di dalamnya yang dihantar di lima sekolah di Nilai dan selebihnya di Tampin adalah sama.
“Bungkusan itu dilaporkan berada di kawasan sekolah sebelum pihak sekolah membuat laporan polis selepas nama penerima yang tertera pada bungkusan itu tidak hadir untuk mengambilnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata susulan itu, polis mendapatkan bantuan Unit Pemusnah Bom (UPB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalankan pemeriksaan dan mengambil tindakan keselamatan sewajarnya.
Beliau berkata pemeriksaan tidak menemukan sebarang bahan letupan atau bahan berbahaya dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab menghantar atau meninggalkan bungkusan itu serta menentukan motif sebenar kejadian.
Sehubungan dengan itu, Alzafny menasihatkan pihak pengurusan sekolah dan orang ramai supaya tidak menyentuh, membuka atau mengalihkan sebarang bungkusan mencurigakan yang tidak diketahui pemilik atau asal usulnya dengan membuat laporan polis untuk tindakan keselamatan.
Dalam pada itu, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) mengambil maklum kejadian penerimaan bungkusan yang tidak diketahui kandungannya di beberapa sekolah di negeri ini.
“Sekolah terlibat telah mengambil tindakan keselamatan sewajarnya dengan berpandukan garis panduan pengurusan sekolah selamat bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan murid, guru serta seluruh warga sekolah sentiasa terpelihara,” menurut JPNS dalam kenyataan.
JPNS menasihati warga sekolah dan ibu bapa agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, sebaliknya merujuk kepada saluran rasmi bagi mendapatkan maklumat tepat.
