PETALING JAYA: Bekas Menteri Perdagangan Indonesia, Muhammad Lutfi, membidas kenyataan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya Indonesia dilayan sebagai negara 'tersisih' dalam Asean susulan jerebu rentas sempadan yang berulang.
Lutfi berkata jerebu bukanlah peluang untuk mencari publisiti untuk meraih perhatian, ketika ribuan rakyat Indonesia juga terjejas dan ada anggota bomba terkorban ketika memadamkan kebakaran.
Katanya, syarikat Malaysia yang mengendalikan ladang di Indonesia juga perlu dipertanggungjawabkan terhadap krisis itu, dengan mendakwa kumpulan perladangan Malaysia menguasai sehingga 3.4 juta hektar tanah di negara itu dan sesetengahnya membiayai operasi mereka melalui bank Malaysia.
“Pastikan setiap syarikat yang melanggar peraturan dipertanggungjawabkan, sama ada syarikat Indonesia atau Malaysia. Namun, jangan sesekali menghina seluruh negara yang memberikan tanah dan lesen kepada industri anda untuk berkembang maju,” katanya di Instagram.
Lutfi berkata Amerika Syarikat sebelum ini pernah mengenakan sekatan import kepada pengeluar minyak sawit Malaysia seperti FGV Holdings dan Sime Darby Plantation, susulan dakwaan buruh paksa, namun Indonesia tidak pernah mengkritik Malaysia sebagai sebuah negara.
“Adakah Indonesia menganggap seluruh negara Malaysia sebagai negara tersisih kerana perkara itu? Tidak pernah,” katanya.
Beliau turut berkata laporan Greenpeace yang dirujuk oleh Syed Saddiq mengenai 19 titik panas kebakaran adalah di kawasan konsesi Indonesia yang dikaitkan dengan kumpulan Malaysia.
“Jika anda mahukan akauntabiliti, siasat syarikat-syarikat itu dan rantaian bekalan mereka.
“Jika anda tidak memahami cara perniagaan ini beroperasi, jangan jadikan seluruh negara saya sebagai sasaran,” katanya.
Lutfi berkhidmat sebagai menteri perdagangan Indonesia dari 14 Feb hingga 20 Okt 2014 di bawah Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, dan sekali lagi dari 23 Dis 2020 hingga 15 Jun 2022 di bawah Presiden Joko Widodo.
Syed Saddiq dalam perbahasan di Dewan Rakyat minggu lalu menggesa supaya Malaysia menggerakkan negara Asean untuk mengenakan tekanan diplomatik dan kewangan terhadap Indonesia berhubung masalah jerebu yang berulang.
Beliau juga menggesa supaya menghentikan pembiayaan kepada syarikat yang dikaitkan dengan pembakaran hutan dan menggerakkan pengguna untuk memberi tekanan kepada perniagaan yang terlibat dalam kebakaran itu.
“Anda perlu layan mereka sebagai negara tersisih di rantau ini,” kata Syed Saddiq.
Dalam hantaran Instagram berasingan, Lutfi turut menggesa Singapura meneliti penglibatan eksekutif dan kumpulan korporat yang berpangkalan di negara itu dalam syarikat Indonesia yang dikaitkan dengan kebakaran yang menyumbang kepada jerebu.
Pada Isnin, Agensi Alam Sekitar Kebangsaan Singapura (NEA) berkata pihaknya akan mengeluarkan notis kepada tiga lagi syarikat Indonesia berhubung kebakaran di Kalimantan, menjadikan jumlah keseluruhan syarikat yang disasarkan di bawah Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (THPA) Singapura sebanyak 10.
Jerebu yang berpunca daripada asap kebakaran hutan di Indonesia menyelubungi beberapa kawasan di Malaysia dan Singapura sejak beberapa minggu ini, dengan cuaca kering berkaitan El Niño memburukkan lagi kebakaran tersebut.
Minggu lalu, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata, berdasarkan semakan dengan syarikat-syarikat berkenaan, kebanyakan kebakaran yang dikesan di Indonesia berlaku di luar kawasan konsesi kelapa sawit milik syarikat Malaysia.
