CHUKAI: Seorang peniaga buah-buahan maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Chukai dekat Kampung Pasir Gajah di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Razi Rosli berkata kemalangan itu berlaku pada 9.30 pagi ketika mangsa Engku Muhammad Asyraf Aiman Raja Shamsul Nizam, 16, dalam perjalanan dari Machang, Kelantan untuk menghadiri sebuah program di Kuantan, Pahang.
Beliau berkata mangsa yang berasal dari Kampung Banggol, Pak Awang, Machang mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas CT110 dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh penghadang sebelah kiri lebuh raya dan tercampak beberapa meter ke atas jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata Engku Muhammad Asyraf Aiman dipercayai menyertai konvoi bersama beberapa buah motosikal lain untuk ke program berkenaan.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
