KUDAT: Semua parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu mengutamakan kepentingan Sabah dan gabungan itu bagi memperkukuh kuasa tawar-menawar Sabah di peringkat Persekutuan, kata Pengerusi GRS Hajiji Noor.
Beliau yang juga ketua menteri berkata kekuatan politik Sabah dalam rundingan di peringkat persekutuan perlu berteraskan kesepaduan dalaman GRS, bukannya dicemari perebutan kedudukan dan ego politik.
"Tidak guna kita memuji kesatuan orang lain kalau dalam rumah GRS sendiri kita masih bertelagah kerana kekuatan Sabah sebenarnya bermula daripada perpaduan kita sendiri.
"Tidak ada parti yang begitu besar sehingga tidak lagi memerlukan rakannya dan tidak ada parti yang terlalu kecil sehingga sumbangannya boleh kita abaikan," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen GRS 2026 di Dewan Tun Mustapha.
Turut hadir timbalan pengerusi GRS iaitu Joachim Gunsalam, Masidi Manjun, Anifah Aman, Liew Yun Fah, Ewon Benedick dan Chin Su Phin, serta Setiausaha Agung Armizan Mohd Ali.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada ahli akar umbi yang mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit untuk berkempen pada pilihan raya, sambil mengingatkan pemimpin supaya tidak melupakan jasa mereka selepas memperoleh kuasa.
Beliau berkata tindakan sesetengah pihak meninggalkan gabungan untuk bergerak solo perlu dijadikan pengajaran, bagi mematangkan proses membuat keputusan serta memperkukuh GRS demi kestabilan negeri.
Beliau menegaskan status sebagai parti tempatan sahaja tidak mencukupi untuk meraih keyakinan pengundi sekiranya kerajaan gagal menangani masalah harian rakyat dan menyediakan peluang ekonomi.
"Rakyat mahu sebuah kerajaan yang stabil, yang bukan sekadar pandai bercakap tetapi mampu menyelesaikan masalah kerana kita boleh menang berucap di atas pentas tetapi kalah dalam menawan hati rakyat," katanya.
