PETALING JAYA: Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata beliau akan merayu keputusan Lembaga Disiplin Bersatu yang menggantung keahliannya selama dua penggal.
Abu Bakar berkata beliau akur dengan keputusan itu tetapi akan mengemukakan rayuan mengikut saluran serta proses yang ditetapkan parti.
Katanya, penggantungan itu juga tidak menjejaskan kedudukannya sebagai menteri besar atau kelancaran pentadbiran kerajaan negeri, lapor Sinar Harian.
“Tidak ada kesan keputusan penggantungan parti dengan pentadbiran kerajaan negeri. Jangan keliru dalam soal ini.
“Sebagai pemimpin atau ahli, soal penggantungan itu adalah urusan parti. Sebagai menteri besar, saya kekal meneruskan pentadbiran negeri mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis,” katanya yang dipetik sebagai berkata.
Semalam, Berita Harian melaporkan Pengerusi Bersatu Perlis Izizam Ibrahim mengesahkan Abu Bakar digantung keahlian berkuat kuasa 13 Okt, dengan surat memaklumkan keputusan itu dikeluarkan minggu lalu.
Surat bertarikh 14 Okt itu ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu Mohd Radzi Manan dan memaklumkan penggantungan Abu Bakar yang juga ketua Bersatu Kangar.
Tindakan itu didakwa diambil susulan pelanggaran Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
Sepanjang tempoh penggantungan, Abu Bakar turut dilucutkan semua jawatan dalam parti dan dilarang membuat sebarang kenyataan atas nama Bersatu. Beliau diberi tempoh 14 hari dari tarikh notis untuk mengemukakan rayuan.
Pada Julai, Abu Bakar dan Exco Perlis Marzita Mansor meletakkan jawatan sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, namun kekal sebagai ahli parti.
Ketika itu, Abu Bakar berkata keputusan berkenaan dibuat bagi membolehkannya memberi tumpuan kepada pentadbiran Perlis, selain berdepan kesukaran menghadiri mesyuarat MPT.
