KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan membawa cadangan bantuan kepada keluarga 54 rakyat Malaysia yang masih hilang susulan bencana banjir di Nepal untuk dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Jumaat ini.
Jurucakap dan penyelaras Malaysia Solidarity Families in Hope (MASFIH), R Manivannan berkata perkara itu dimaklumkan dalam pertemuan pihaknya dengan Anwar di Parlimen, hari ini.
"Kabinet juga akan membincangkan pelantikan seorang menteri penyelaras bagi memastikan keperluan keluarga terjejas dapat ditangani secara tersusun,” katanya pada sidang media selepas bertemu Anwar di Parlimen.
Manivannan berkata dalam pertemuan itu, MASFIH menyerahkan cadangan setebal 29 muka surat kepada perdana menteri yang menggariskan sembilan keutamaan.
Antaranya bantuan kewangan, penyelarasan tindakan kerajaan, bantuan perundangan serta usaha diplomatik dengan pihak berkuasa Nepal dan Wilayah Autonomi Tibet di China.
Menurutnya, keluarga turut memerlukan surat rasmi kerajaan yang mengesahkan status ahli keluarga mereka sebagai hilang bagi memudahkan urusan insurans dan pentadbiran kewangan.
Katanya, surat dikeluarkan Kementerian Luar setakat ini hanya menyatakan individu terbabit tidak dapat dihubungi, tanpa mengesahkan mereka sebagai orang hilang.
“Kami nak dapatkan satu surat pengesahan yang kata ahli keluarga kami ini hilang,” katanya, sambil menjelaskan dokumen itu bukan pengisytiharan bahawa mereka telah meninggal dunia.
Pada 26 Ogos lalu, banjir dan aliran puing melanda kawasan Rasuwa berhampiran sempadan Nepal-Tibet, menyebabkan puluhan rakyat Malaysia terputus hubungan dengan keluarga.
Seramai 55 rakyat Malaysia pada mulanya dilaporkan hilang, namun seorang daripada mereka kemudian ditemukan selamat dan pulang ke tanah air pada 2 Okt, menjadikan 54 orang masih belum ditemukan.
Keluarga mereka sebelum ini turut menggesa kerajaan dan institusi kewangan menyediakan moratorium pinjaman serta perlindungan kewangan sementara status undang-undang individu yang hilang belum diselesaikan.
MASFIH juga telah mengemukakan cadangan kepada Bank Negara Malaysia berhubung satu rangka kerja bantuan kewangan untuk keluarga terjejas.
