KUALA LUMPUR: Langkah pelepasan cukai pendapatan individu dalam Belanjawan 2027 berpotensi memberikan penjimatan bayaran cukai tahunan sehingga RM1,600 kepada kira-kira lima juta pembayar, sekali gus menyokong perbelanjaan golongan berpendapatan sederhana, menurut CIMB Securities Sdn Bhd.
Menurutnya, belanjawan itu menawarkan pelepasan cukai pendapatan individu yang lebih tinggi berbanding jangkaan, dengan meningkatkan pelepasan cukai individu asas daripada RM9,000 kepada RM12,000 serta mengurangkan kadar cukai sebanyak satu mata peratusan bagi pendapatan bercukai antara RM70,001 hingga RM150,000.
“Perniagaan juga dijangka mendapat manfaat daripada kadar cukai korporat yang lebih rendah bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta peluasan kemudahan mendapatkan semula cukai jualan bagi mesin dan input pengeluaran yang layak,” menurut nota penyelidikan CIMB Securities.
Pengilang turut akan dibenarkan menuntut semula cukai jualan yang dibayar bagi pembelian mesin, alat ganti dan peralatan daripada peniaga atau pengedar tempatan.
Menurut CIMB Securities, kemudahan itu turut meliputi bahan mentah yang digunakan dalam pengeluaran produk farmaseutikal, makanan haiwan, baja dan racun perosak.
Secara keseluruhannya, firma itu memaklumkan, Belanjawan 2027 menyokong pendapatan isi rumah dan pelaburan dan pada masa sama mengekalkan disiplin fiskal walaupun kenaikan gaji boleh mewujudkan risiko margin bagi perniagaan berintensif buruh.
Menurut CIMB Securities, sasaran defisit fiskal kerajaan bagi 2027 sebanyak 3.3% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah lebih baik daripada unjuran awalnya, iaitu 3.4%, walaupun unjuran defisit bagi 2026 disemak naik kepada 3.6%.
“Kami melihat Belanjawan 2027 sebagai perkembangan positif bagi sektor pengguna dalam jangka panjang, disokong bantuan tunai bersasar, pelepasan cukai dan langkah lain yang bertujuan mengurangkan kos sara hidup, meningkatkan pendapatan boleh guna serta mengekalkan penggunaan domestik,” katanya.
CIMB Securities memaklumkan perbelanjaan tambahan dijangka tertumpu kepada barangan keperluan, makanan dan minuman (F&B) pada harga berpatutan serta peruncitan berorientasikan nilai sekali gus memberi manfaat kepada peruncit seperti 99 Speed Mart, Eco-Shop, AEON dan MR DIY.
Pengeluar barangan keperluan pengguna seperti Nestlé Malaysia, QL Resources dan Life Water juga dijangka menerima manfaat.
Sementara itu, menurutnya, kenaikan gaji minimum bulanan sebanyak 17.6% kepada RM2,000 bermula Jun 2027, iaitu paras tertinggi dalam julat jangkaannya, akan memberi manfaat kepada lebih empat juta pekerja, walaupun PMKS dengan jualan tahunan di bawah RM50 juta dikecualikan.
Kenaikan itu boleh meningkatkan kos tenaga kerja bagi peruncit serta pengusaha F&B terutama perniagaan berintensif buruh.
“Kesannya mungkin turut dirasai pekerja yang menerima gaji melebihi kadar minimum kerana syarikat mungkin perlu menyelaraskan julat gaji lain bagi mengekalkan perbezaan gaji antara pekerja.
“Bagaimanapun, gaji yang lebih tinggi dijangka menyokong kuasa beli isi rumah dan penggunaan dalam jangka panjang,” menurutnya.
CIMB Securities memaklumkan, kenaikan gaji minimum turut meningkatkan kos bagi syarikat perladangan, sarung tangan serta sektor pembuatan dan perkhidmatan lain berintensif buruh walaupun pelaksanaan mulai Jun 2027 mengehadkan kesannya terhadap pendapatan syarikat dalam masa terdekat.
Tambahnya, syarikat yang meningkatkan produktiviti tenaga kerja melalui kecekapan operasi dan automasi dijangka berada pada kedudukan lebih baik untuk mengimbangi kenaikan kos buruh.
Dari segi pelaburan, menurutnya, peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM83 bilion dan pelaburan berterusan dalam infrastruktur memberi kelebihan kepada syarikat pembinaan manakala insentif perumahan dan penambahbaikan kesalinghubungan pengangkutan di Johor dijangka memberi kelebihan kepada syarikat hartanah.
Syarikat tenaga boleh baharu dan teknologi juga dijangka mendapat manfaat daripada pelanjutan insentif pelaburan hijau serta pembiayaan sektor semikonduktor.
“Kami menyifatkan Belanjawan 2027 sebagai neutral hingga sedikit positif bagi ekuiti Malaysia," katanya.
“Secara keseluruhan, kami menjangkakan kenaikan gaji minimum memberi kesan langsung yang terhad kepada jumlah pendapatan agregat FTSE Bursa Malaysia KLCI pada 2027."
