PETALING JAYA: Seorang Ahli Parlimen menggesa kerajaan mempercepat pelaksanaan Dasar Gaji Progresif (DGP) secara mandatori bagi sektor swasta, beserta insentif subsidi gaji bagi membantu majikan menampung kos kenaikan upah pekerja.
Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berkata, langkah itu perlu bagi menangani penyusutan kuasa beli rakyat akibat kenaikan harga barangan makanan asas yang mendahului pertumbuhan pendapatan benar.
"Penyusutan kuasa beli akibat kadar inflasi barangan makanan asas yang meningkat antara 3.0% hingga 4.5%, jauh mendahului pertumbuhan pendapatan benar.
"Penanda aras gaji median sektor swasta sebanyak RM2,600 sebulan tidak lagi mencukupi untuk menampung kos sara hidup semasa," katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Khairil berkata, generasi 'sandwich' turut berdepan tekanan kewangan apabila terpaksa menanggung kos perubatan ibu bapa yang semakin berusia, selain perbelanjaan persekolahan anak-anak.
Keadaan itu, katanya, lebih membimbangkan apabila lebih 50% ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia bawah 55 tahun dilaporkan mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000, sedangkan Malaysia dijangka menjadi negara tua menjelang 2040.
Sehubungan itu, beliau mengemukakan empat cadangan kepada Kementerian Kewangan bagi membantu golongan berkenaan, termasuk mengiktiraf generasi 'sandwich' sebagai kumpulan sasaran dasar kerajaan.
Beliau turut mencadangkan pelepasan cukai khas kepada mereka yang membeli insurans perubatan untuk ibu bapa.
"Selain itu, kerajaan boleh memperkenalkan cuti penjagaan berbayar atau perlindungan pendapatan bagi pekerja yang menjaga ibu bapa atau tanggungan yang sakit dan uzur.
"Kerajaan juga perlu menyelaraskan akses kepada bantuan sedia ada supaya golongan berkenaan lebih mudah mendapatkan sokongan kewangan yang diperlukan," katanya.
