ROM: Tentera Itali merancang menghantar 500 lagi anggota tentera ke Milan, ibu kota kewangan negara itu susulan rusuhan serius, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Keputusan itu dibuat pada Isnin dalam mesyuarat krisis yang dipengerusikan Perdana Menteri, Giorgia Meloni, dengan dekri berkaitan dijangka dikeluarkan tidak lama lagi.
Penambahan kehadiran anggota tentera itu bertujuan menghalang rusuhan daripada berulang di pusat bandar raya Milan.
Misi ketenteraan Itali yang dikenali "Strade Sicure" (Jalan Selamat) beroperasi sejak 2008. Anggota tentera membantu polis memantau kawasan bandar utama dan bangunan berisiko.
Perintah berkurung juga sedang dipertimbangkan bagi kawasan tertentu di pusat bandar. Meloni sebelum ini mengumumkan pendekatan tegas sebagai tindak balas terhadap rusuhan di Milan dan beberapa bandar lain.
Rusuhan tercetus di Milan pada hujung minggu lalu selepas demonstrasi yang pada mulanya berlangsung secara aman bagi membantah kos sara hidup tinggi serta pelbagai rancangan perundangan kerajaan.
Di Piazza del Duomo, dataran utama di pusat bandar dan kawasan sekitarnya, kebanyakan golongan muda berpakaian hitam serta memakai pelitup muka memecahkan cermin kedai dan menjarah kedai serta pasar raya.
Lebih 270 penahanan dilakukan, kebanyakannya membabitkan individu bawah umur. Lima belia turut ditahan.
Kadar inflasi di Itali ketika ini ialah 4.2%. Ramai pihak membuat perbandingan keadaan itu dengan rusuhan di Perancis.
Menurut pegawai, sekurang-kurangnya 14 anggota pasukan keselamatan cedera di Milan. Tiada angka tepat diberikan berhubung jumlah penunjuk perasaan yang cedera. Nilai kerosakan dianggarkan mencecah jutaan euro.
