KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul mengarahkan Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) menarik balik kenyataannya yang mengandungi perkataan 'munafik' ketika berbahas di Dewan Rakyat awal minggu ini.
Johari berkata Takiyuddin perlu menarik balik kenyataan itu selewat-lewatnya esok, sama ada di Dewan Rakyat atau secara bertulis kepadanya.
Keputusan itu dibuat selepas beliau meneliti Hansard perbahasan Isnin lalu.
“Jika tidak ditarik balik, Jelutong (RSN Rayer) boleh mengemukakan usul kepada saya,” katanya.
Johari merujuk kepada Rayer yang membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36(4), berhubung larangan penggunaan bahasa kesat, susulan kenyataan Takiyuddin ketika perbahasan Belanjawan 2027.
Rayer mendakwa terjemahan hadis ke bahasa Melayu oleh Takiyuddin serta penggunaan perkataan 'munafik' dan 'hypocrite' ditujukan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan belanjawan.
Katanya, ucapan Takiyuddin itu didakwa keterlaluan dan beliau meminta Speaker membuat keputusan berhubung penggunaan perkataan sedemikian.
Selepas Johari membuat keputusan itu, Awang Hashim (PAS-Pendang) bangun mempertahankan Takiyuddin dengan berkata kenyataan berkenaan tidak ditujukan kepada sesiapa.
Bagaimanapun, Johari tidak membenarkan Awang mencelah kerana beliau tidak membawa salinan Hansard.
Misbahul Munir Masduki (PAS-Parit Buntar) kemudian berkata beliau mempunyai salinan Hansard, namun Johari juga tidak membenarkannya mencelah dan berkata perkara itu boleh dibawa kepada jawatankuasa Parlimen.
“Sebab itu saya tidak mahu perkara ini dibahaskan. Apabila berbahas, mereka bercakap dalam keadaan marah. Saya sudah membuat keputusan. Jika Kota Bharu tidak mahu menarik balik kenyataannya, Jelutong boleh mengemukakan usul.
“Usul itu akan dibawa kepada jawatankuasa untuk dibincangkan dan diputuskan. Itu sahaja. Jangan pertikaikan keputusan saya,” kata Johari.
Awang kemudian menegur Johari kerana tidak membenarkannya membahaskan keputusan itu, sambil mendakwa Speaker terlalu tegas dalam melaksanakan peraturan Dewan.
Johari menjawab: “Kamu mengambil masa rakyat. Jangan bawa politik ke dalam (Dewan). Kalau mahu berpolitik, pergi ke luar. Saya tidak berminat membawa politik ke sini.”
