PETALING JAYA: Lelaki yang mencetuskan kontroversi dipercayai melakukan amalan atau ritual agama bukan Islam ditahan hari ini bersama ibunya.
Menurut Kosmo, penahanan lelaki berusia 21 tahun itu dan ibunya, 52, dilakukan ketika mereka hadir di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Kuala Lumpur, kira-kira 12 tengah hari.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Mohd Shahzihan Ahmad, berkata tangkapan itu dibuat melalui waran tangkap bersaling yang dikeluarkan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam dan telah dilaksanakan Jawi.
“Kedua-dua suspek kini disiasat Jais mengikut Seksyen 4 dan 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
“Jais dijangka akan memanggil sekurang-kurangnya 14 individu lain bagi membantu siasatan,” katanya menurut Kosmo.
Shahzihan berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan akan memastikan setiap tindakan diambil berdasarkan bidang kuasa, undang-undang dan fakta kes.
Justeru, katanya, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat belum disahkan.
Terdahulu, tular di media sosial berhubung tindakan individu beragama Islam dipercayai melakukan amalan atau ritual agama bukan Islam yang menyalahi hukum syarak.
Jais pada 10 Okt dalam kenyataan, berkata JAIS bertindak menyiasat berdasarkan Seksyen 4 dan 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 melibatkan kesalahan melakukan perbuatan yang menunjukkan pemujaan dengan apa-apa cara yang menyalahi hukum syarak dan kesalahan melakukan perbuatan yang menyebabkan agama Islam dipandang hina.
