PETALING JAYA: Sebanyak 19 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat pagi ini, dengan Sabah dan Sarawak sekali lagi terjejas akibat keadaan berjerebu.
Setakat 8 pagi, Pasir Gudang di Johor mencatatkan bacaan tertinggi dengan 180, manakala kawasan lain di negeri itu turut terjejas teruk, iaitu Larkin (176), Kota Tinggi (169), Pengerang (166), Batu Pahat (161), Kluang (154), Tangkak (151) dan Segamat (133).
Selepas beberapa hari reda, beberapa kawasan di Malaysia Timur mula mencatatkan bacaan IPU tidak sihat sekali lagi, iaitu Sri Aman (172), Serian (154) dan Samarahan (129) di Sarawak serta Tawau (154) di Sabah.
Pahang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat sebanyak 161 di Balok Baru dan 157 di Rompin, manakala tiga kawasan di Melaka turut melaporkan keadaan serupa, iaitu Bukit Rambai (160), bandar Melaka (160) dan Alor Gajah (151).
Di Negeri Sembilan, bacaan IPU ialah 154 di Seremban dan 146 di Nilai.
Lembah Klang mencatatkan bacaan IPU pada tahap sederhana, walaupun beberapa kawasan menghampiri tahap tidak sihat, iaitu Putrajaya (99), Johan Setia (90) dan Klang (87).
Bacaan IPU 0-50 menunjukkan kualiti udara baik, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan lebih 300 dikategorikan bahaya.
