KUALA LUMPUR: Enam cip semikonduktor baharu hasil inovasi tempatan mencerminkan kemajuan Malaysia daripada sebuah pusat pengeluaran kepada negara yang berupaya mereka bentuk, membangunkan dan memiliki teknologi sendiri, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Nasir.
Dalam ucapan sempena AiSEM@SELANGOR 2026, Akmal berkata enam inovasi itu memperlihat keupayaan untuk melangkah daripada pembuatan kepada penciptaan dan pemilikan teknologi, selepas lima dekad membina nama sebagai negara yang dipercayai dalam industri semikonduktor dunia.
"Saya dimaklumkan bahawa keenam-enam inovasi ini mempunyai anggaran potensi jualan tergabung kira-kira RM300 juta, sekali gus menonjolkan peluang komersial bagi teknologi semikonduktor buatan tempatan," katanya.
"Semoga enam inovasi yang diperkenalkan pada hari ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak teknologi tempatan yang berjaya dikomersialkan dan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global."
Majlis hari ini menonjolkan MARS1000 buatan SkyeChip iaitu pemproses 'edge-AI' bagi kegunaan kamera, robot, dan sistem kilang; serta aiDAPTIV+ buatan MaiStorage iaitu solusi penstoran untuk komputer peribadi dan pelayan berasaskan kecerdasan buatan.
Turut diketengahkan peranti 'field-programmable gate array' buatan SiliconX untuk aplikasi industri serta automotif; serta Maxwell buatan Infinecs, iaitu pengawal atur 'low-dropout' gred automotif untuk menstabilkan bekalan kuasa bagi elektronik kenderaan.
Selain itu, cip pengawal kuasa buatan Weeroc Space bagi kegunaan satelit dan sistem penerokaan angkasa lepas, serta FC Mini buatan Alphaswift iaitu pengawal penerbangan untuk dron berautonomi.
"Hari ini, kami mempamerkan enam inovasi semikonduktor buatan tempatan yang dibangunkan oleh syarikat-syarikat di Malaysia Semiconductor IC Design Park," katanya.
"Pencapaian ini juga memberi inspirasi kepada generasi muda bahawa mereka mampu membina kerjaya berkualiti dan mencipta teknologi bertaraf dunia di Malaysia."
Industri semikonduktor menjadi penyumbang penting kepada ekonomi negara. FMT melaporkan pada Mac lalu bahawa sektor itu menyumbang kira-kira 6% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), 26% kepada eksport dan 40% daripada pelaburan langsung asing yang diluluskan.
Menerusi Belanjawan 2027, Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) akan melabur sebanyak RM1.2 bilion untuk menyokong syarikat semikonduktor tempatan bergerak ke segmen industri bernilai lebih tinggi.
Belanjawan itu juga menyediakan Dana Pelaburan Strategik bernilai RM100 juta yang akan diwujudkan oleh Khazanah Nasional Bhd dan InvestPenang bagi menyokong syarikat semikonduktor dan pembuatan termaju pada peringkat awal.
