KOTA BHARU: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan mencederakan isteri dan ibu mentua menggunakan pisau, minggu lepas.
Shahrul Shahrizal Che Shaari, 47, membuat pengakuan itu dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah dan Hakim Nik Habri Muhamad.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas isterinya, Zulaiha Mat Zin, 44, dengan menikam menggunakan sebilah pisau di sebuah rumah di Padang Lepai, Ketereh kira-kira 8.30 malam pada 5 Okt lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap ibu mentuanya, Paridah Ismail, 78, menggunakan sebilah pisau pada masa, tarikh dan lokasi yang sama.
Shahrul didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana daripada dua hukuman itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli dan Siti Arina Razali manakala tertuduh diwakili peguam Zainal Abidin Mustaffa.
Keluarga mangsa pula diwakili peguam pemerhati Nik Saiful Adli Burhan dan Che Muhammad Redzuan Jihad.
Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan Zainal juga memohon perkara sama, selain meminta anak guamnya dihantar ke hospital psikiatri bagi menjalani pemeriksaan mental.
Mahkamah kemudiaan mengarahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak selama sebulan untuk menjalani pemeriksaan psikiatri dan menetapkan 18 Nov ini untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.
