PETALING JAYA: Adun tidak sepatutnya turut memegang peranan Ahli Parlimen pada masa sama, kata Speaker DUN Sarawak Asfia Awang Nassar hari ini susulan pertikaman lidah berhubung penggantungan Ketua Pembangkang Chong Chieng Jen.
Pertikaian itu tercetus selepas Adun DAP mewakili Pending, Violet Yong, menyifatkan tindakan Asfia mendakwa Chong sengaja memilih untuk tidak menghadiri persidangan sebagai tidak adil.
Beliau berkata, Asfia 'sangat faham' Chong, yang juga Ahli Parlimen Stampin, berada di Dewan Rakyat atas urusan Parlimen, namun Asfia tetap membenarkan usul terhadapnya di DUN diteruskan.
Yong kemudian mendakwa Asfia menafikan hak Chong untuk membela diri, menyifatkan tindakan itu sebagai memalukan kerana bertentangan dengan prinsip keadilan asasi.
Membalas dakwaan itu, Asfia berkata, Yong dan Chong, yang juga Adun Padungan, ada menemuinya bagi memohon pengecualian dan beliau telah pun bersetuju.
“Namun mengikut prosedur, permohonan mestilah dibuat secara bertulis melalui setiausaha,” kata Asfia dalam sebuah rakaman video yang dimuat naik di laman Facebook DAP Sarawak hari ini.
Bagaimanapun, Asfia berkata, Chong telah menyerangnya di Facebook berhubung hansard, hantaran yang memberikan gambaran seolah-olah Chong berada di Sarawak.
Yong sebaliknya menegaskan, walaupun Chong bertindak sedemikian, ia tetap tidak memberi hak kepada speaker untuk mengatakan beliau 'memilih untuk tidak hadir'.
“Jangan cakap begitu. Anda boleh kata ‘saya tidak tahu mengapa beliau tidak hadir hari ini’, tetapi jangan kata beliau memilih untuk tidak hadir.
"Jadi Tuan Speaker, bersikaplah lebih sopan. Tolong berlaku adil kepada pembangkang dan jangan terlalu berat sebelah dalam keputusan mahupun hujah anda.
"Saya tahu anda cuba ambil hati GPS,” katanya, merujuk gabungan pemerintah negeri, Gabungan Parti Sarawak.
Sebagai respons, Asfia membidas: “Jangan jadi Ahli Parlimen dan Adun pada masa sama jika tiada masa.”
Chong yang juga ketua DAP Sarawak digantung daripada DUN semalam bagi baki sesi persidangan kali ini selepas satu usul diluluskan mendakwa beliau mengelirukan dewan berhubung dokumen belanjawan Sarawak 2027 serta bertindak tidak wajar semasa perbahasannya.
Usul itu mendakwa Chong sengaja mengelirukan Dewan pada 13 Okt dan berkelakuan tidak wajar semasa perbahasan belanjawan pada 14 Okt, dengan berulang kali membuat tohmahan yang gagal dibuktikannya.
Usul berkenaan turut mendakwa beliau menggunakan kata-kata kesat serta menghina terhadap Adun lain selain mengaitkan mereka dengan niat jahat.
