ALOR GAJAH: Sebuah bungkusan misteri yang ditemukan di sebuah sekolah di daerah ini hanya berisi tiga peket tepung gandum dan pinggan polistirena serta tidak mempunyai kandungan berbahaya.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ahmad Abu Bakar berkata pihaknya menerima panggilan daripada pengurusan sekolah terbabit kira-kira 8.20 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke tempat kejadian.
“Bungkusan tersebut dipercayai telah berada di kawasan sekolah berkenaan kira-kira sebulan lepas namun tidak dituntut mana-mana pihak walaupun mempunyai penama.
“Nama yang tertera di bungkusan berkenaan bagaimanapun tidak sepadan dengan mana-mana petugas di sekolah itu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata pengurusan sekolah akhirnya membuat laporan pada hari ini kerana mencurigai kandungan dalam bungkusan berkenaan.
Jumaat lepas, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad mengesahkan pihaknya menerima sembilan laporan berhubung penemuan bungkusan mencurigakan di beberapa sekolah di Nilai dan Tampin di negeri itu.
Alzafny dilaporkan berkata hasil pemeriksaan mendapati kesemua kotak itu mengandungi tepung gandum dan pinggan plastik.
