PETALING JAYA: Adun Kampung Tunku Lim Yi Wei menggesa orang ramai berhenti menularkan video insiden keganasan di sekolah menerusi media sosial, selain meminta pihak media tidak mensensasikan kejadian sedemikian.
Wakil rakyat DAP berkata, gesaan itu bertujuan membendung penularan sosial, apabila tingkah laku, emosi, atau idea merebak secara pantas dan spontan, sekali gus berisiko mencetuskan perbuatan 'copycat'.
“Berbincang secara bersemuka mahupun dalam talian serta berkongsi maklumat mungkin dilihat membantu, namun di manakah batas antara tanda solidariti dengan sensasi?” soalnya dalam kenyataan.
Sebelum ini, polis Sarawak mengesahkan remaja yang didakwa menyerang seorang guru di Sekolah Antarabangsa Tunku Putra-HELP di Kuching pagi semalam, menyiarkan insiden itu secara langsung.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Saifullizan Ishak, berkata rakaman berdurasi 12 minit enam saat itu memaparkan serangan dari sudut pandangan suspek, dan video tersebut telah diturunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Lim turut menzahirkan kekecewaan terhadap hantaran media sosial mengenai insiden di Kuching itu yang menggunakan tanda pagar '#viralkan' dan '#fyp' semata-mata untuk meningkatkan capaian.
“Tindakan itu mengeksploitasi rasa terkejut serta kebimbangan masyarakat terhadap keselamatan sekolah, demi meraih 'likes', perkongsian, dan ada kalanya pendapatan buat pemilik akaun,” katanya.
Lim memetik kajian di Amerika Syarikat pada 2015 yang mendapati pembunuhan beramai-ramai membabitkan senjata api, termasuk insiden tembakan di sekolah, didorong oleh kejadian serupa yang berlaku sebelum itu, dengan peningkatan risiko sementara berlarutan purata selama 13 hari.
“Di luar tempoh ini pula, pelaku pembunuhan beramai-ramai yang amat mengerikan, seperti di Virginia Tech, Sandy Hook dan Umpqua Community College, secara terang-terangan mengakui mengambil inspirasi daripada pelaku terdahulu,” katanya.
Beliau berkata, perbincangan mengenai keganasan di sekolah tidak sepatutnya melibatkan perkongsian video atau mensensasikan tindakan mahupun manifesto penyerang, namun platform media sosial dilihat kurang berminat menurunkan kandungan sedemikian kerana model perniagaan mereka bergantung kepada wacana hangat serta tularan.
“Kita sering kata kanak-kanak mudah terdedah kepada pengaruh media sosial, sedangkan (teori) penularan sosial membuktikan golongan dewasa juga tidak kebal," katanya.
“Kita perlu muhasabah diri: Adakah kita kongsi kerana benar-benar peduli, atau kerana otak kita mendambakan lonjakan endorfin yang diperoleh daripada pengiktirafan di alam maya?”
