KUALA LUMPUR: Sekolah di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Pulau Pinang akan beroperasi seperti biasa esok, namun aktiviti luar bilik darjah ditangguhkan susulan jerebu.
Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memaklumkan semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) akan beroperasi secara bersemuka seperti biasa, namun semua aktiviti luar bilik darjah ditangguhkan.
Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya memaklumkan murid yang hadir ke sekolah digalakkan memakai pelitup muka.
Di Selangor, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) pula meminta pentadbir sekolah sentiasa memantau bacaan indeks pencemaran udara (IPU) daripada Jabatan Alam Sekitar serta memberikan perhatian khusus kepada murid berisiko tinggi.
Di Negeri Sembilan, JPN berkata, aktiviti luar bilik darjah hendaklah dihentikan jika bacaan IPU melebihi 100, manakala di Melaka, semua aktiviti di luar juga ditangguhkan.
Murid disaran memakai pelitup muka, khasnya yang mengalami gejala pernafasan atau kumpulan risiko, manakala Ujian Akhir Sesi Akademik yang dijadualkan berlangsung dalam tempoh ini hendaklah ditangguhkan.
Bagi Pahang, semua sekolah di Bentong, Bera, Maran dan Temerloh beroperasi esok, namun semua aktiviti luar bilik darjah ditangguhkan.
JPN Pulau Pinang memaklumkan pihak sekolah perlu memastikan bekalan air minuman mencukupi untuk warga sekolah.
JPN Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Pulau Pinang turut membenarkan ibu bapa atau penjaga yang bimbang dengan kesihatan anak tidak menghantar mereka ke sekolah, dengan syarat memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah.
Semalam, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata, keputusan penutupan sekolah susulan jerebu ditentukan bersama KPM, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam berdasarkan kepakaran masing-masing.
Menurutnya, keputusan itu mengambil kira pemantauan kualiti udara dan risiko kesihatan murid, selain kesan terhadap pembelajaran jika sekolah ditutup terlalu lama.
