KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin mengingatkan kerajaan tidak membebankan 'angsa emas' negara seperti Petronas, Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dengan keputusan politik.
Beliau berkata, institusi strategik itu perlu diberi ruang menjalankan peranan masing-masing tanpa dipaksa menanggung kos atau melaksanakan keputusan kerajaan yang boleh menjejaskan kedudukan kewangan mereka.
Ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, Hamzah mendakwa kerajaan membuat keputusan politik tetapi membiarkan institusi berkenaan menanggung kesannya.
“Biarkan 'angsa-angsa emas' negara menjalankan perniagaan teras mereka,” katanya yang juga Ahli Parlimen Larut dan presiden Parti Wawasan Negara.
Mengambil contoh Petronas, Hamzah mempersoalkan jumlah dividen dibayar kepada kerajaan, yang keseluruhannya mencecah RM163 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2027.
Katanya, Petronas membayar RM40 bilion pada 2023 dan RM32 bilion masing-masing pada 2024 dan 2025, manakala dividen bagi 2026 dan 2027 ditetapkan pada RM27 bilion dan RM32 bilion.
"Petronas memerlukan dana besar untuk membiayai pelaburan strategiknya, termasuk projek LNG Canada Fasa 2 serta pembangunan di Suriname, Turkmenistan dan Pengerang," katanya.
Hamzah turut merujuk pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung pembabitan Petronas dalam pembangunan 10 ekar pertama bagi menyediakan perumahan mampu milik di atas tanah rizab Melayu di Kuala Lumpur.
"Tuntutan kami jelas. Biarkan 'angsa-angsa emas' negara menjalankan perniagaan teras mereka.
"Tugas Petronas ialah meneroka minyak dan tenaga masa depan. Biarlah keputusan lembaga pengarah entiti 'angsa emas' ini berasaskan pulangan, bukan arahan diumumkan dalam ucapan belanjawan," katanya.
Mengenai TNB, Hamzah mempersoalkan keputusan kerajaan memperluas perlindungan bil elektrik daripada penggunaan 600 kilowatt-jam (kWj) kepada 800kWj sebulan, yang menurutnya menyebabkan syarikat itu menanggung kos RM150 juta.
Hamzah turut membangkitkan penglibatan KWAP dalam beberapa inisiatif pembangunan yang tidak sepatutnya berlaku kerana insitusi berkenaan bukan bank.
"Mandatnya ialah pulangan yang selamat untuk pesara,” katanya.
