PETALING JAYA: Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar dan empat individu yang mendakwa diri mereka sebagai undang Negeri Sembilan mempertikaikan pembatalan pelantikan 10 ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) pada bulan lepas.
Tunku Nadzaruddin menegaskan semula dakwaan beliau terhadap takhta, malam tadi, dengan mendakwa Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bukan lagi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan apabila pelantikan ahli-ahli exco berkenaan dibatalkan pada 20 Sept, maka tidak sah dan tidak berperlembagaan.
"Kami dengan ini mengurniakan limpah perkenan kepada Ismail Lasim selaku menteri besar dan barisan exco... untuk terus mengemudi pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan," menurut kenyataan bersama dengan empat 'undang' berkenaan dan Tunku Besar Tampin.
Mereka mendakwa Tuanku Muhriz bukan lagi Yang Dipertuan Besar apabila suatu proklamasi sebelum ini, oleh individu yang mendakwa diri mereka sebagai undang, diterima dan diputuskan untuk 'dilaksanakan' oleh exco.
Negeri Sembilan tidak mempunyai barisan exco sejak 20 Sept lalu selepas 10 anggotanya dilucutkan jawatan kerana melanggar sumpah jawatan.
Pemecatan itu dibuat susulan kenyataan mereka lima hari sebelumnya yang menyokong satu pengisytiharan untuk menurunkan Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar.
Mereka terdiri daripada wakil Umno, iaitu Mustapha Nagoor (Palong); Faizal Ramli (Linggi); Zaiful Bahri Idris (Chembong); Razi Ali (Sungai Lui); Asna Amin (Lenggeng); Siti Nur Umaira Hasim (Labu); dan Suhaimizan Bizar (Gemencheh).
Tiga lagi terdiri daripada wakil MCA Siow Kong Choon (Chennah); Fairuz Isa daripada PAS (Serting); serta Razali Abu Samah (Sikamat) daripada Wawasan.
Pembatalan pelantikan 10 exco berkenaan diwartakan pada 24 Sept.
Sebelum ini, Dewan Undangan dan Keadilan Negeri Sembilan menegaskan keputusan exco berhubung penurunan takhta Tuanku Muhriz tidak mempunyai kesan undang-undang kerana perkara itu di luar bidang kuasa kerajaan negeri.
Setiausaha Raja Norazli Raja Nordin berkata perkara berkaitan adat Melayu, termasuk pemilihan, pelantikan, peletakan dan pemecatan Yang Dipertuan Besar serta Undang, terletak dalam bidang kuasanya menurut Perkara XVI Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).
Mengenai proklamasi pula, Jabatan Peguam Negara menarik perhatian kepada pandangan awalnya bahawa proklamasi 19 April itu adalah tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak-kehendak mandatori Perkara 10 UUTKNS.
