PETALING JAYA: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan menjadikan konvensyen di Kudat, Ahad ini sebagai medan memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi PRU16, selain menilai kemajuan agenda pembangunan negeri.
Setiausaha Agungnya Armizan Mohd Ali berkata hampir 3,000 peserta dan pemerhati mewakili 26 kawasan Parlimen di Sabah termasuk Labuan dijangka menghadiri Konvensyen GRS 2026 di Dewan Tun Mustapha.
Katanya, konvensyen itu akan memberi tumpuan kepada dua agenda utama iaitu strategi politik bagi menghadapi PRU16 serta pelaksanaan manifesto GRS, khususnya menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
“Konvensyen ini adalah wadah menghimpunkan kepimpinan pusat dan pimpinan utama bahagian-bahagian dalam satu platform,” katanya dalam kenyataan.
Armizan berkata Pengerusi GRS Hajiji Noor akan menyampaikan ucaptama, manakala enam timbalan pengerusi gabungan itu yang mewakili setiap parti komponen akan mengambil bahagian dalam sesi perkongsian.
Menurutnya, konvensyen itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan politik GRS, malah menjadi platform menilai kemajuan agenda pembangunan rakyat dan negeri.
Fokus terhadap PRU16 hadir ketika GRS menyasarkan untuk memperkukuh kedudukannya di Parlimen.
Armizan sebelum ini berkata simulasi berdasarkan keputusan PRN menunjukkan gabungan itu berpotensi memenangi lebih 15 kerusi Parlimen.
GRS kini mempunyai tujuh Ahli Parlimen susulan kemasukan Upko.
Gabungan itu mahu mengekalkan sokongan di kerusi sedia ada sambil menembusi kawasan berpotensi dimenangi bagi memperkukuh suara dan kuasa tawar-menawar Sabah di peringkat persekutuan.
