PETALING JAYA: Kerajaan mempertahankan pelaksanaan caruman wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 2% bagi pekerja asing, menyifatkannya sebagai langkah seimbang antara menjamin keselamatan sosial pekerja migran dan mengambil kira kos yang ditanggung majikan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan berkata, kadar caruman oleh majikan yang mula berkuat kuasa pada Oktober 2025 itu secara relatifnya rendah.
Sekalipun begitu, beliau berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian usaha kerajaan memperluas perlindungan sosial kepada semua pekerja di Malaysia, selaras dengan amalan antarabangsa.
"Ia juga bertujuan memberikan simpanan asas kepada pekerja bukan warganegara yang turut menyumbang kepada ekonomi negara, merapatkan jurang kesaksamaan antara pekerja tempatan dan pekerja bukan warganegara bagi memastikan semua pekerja di Malaysia mendapat perlindungan sosial, serta menyokong prinsip keadilan dan keterangkuman dalam sistem persaraan negara," katanya menerusi jawapan bertulis Parlimen.
Anwar berkata, sebanyak 78,129 majikan sudah mula membuat caruman wajib itu bagi 1,754,460 pekerja asing.
Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 67,194 majikan atau 86% terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Ini merangkumi syarikat pembuatan yang mempunyai sehingga 200 pekerja, atau syarikat sektor perkhidmatan dan sektor lain yang mempunyai sehingga 75 pekerja.
"Perkembangan ini menunjukkan bahawa pelaksanaan caruman mandatori telah mula diterima dan dilaksanakan dalam kalangan majikan, termasuk dalam kalangan PKS," katanya.
"Kerajaan sentiasa mengalu-alukan cadangan daripada semua pihak bagi tujuan penambahbaikan dasar dari semasa ke semasa pada masa akan datang. Kerajaan akan terus memantau keberkesanan inisiatif-inisiatif ini serta melibat urus dengan persatuan dan komuniti PKS, bagi memastikan bantuan yang disediakan sampai kepada perniagaan yang memerlukan."
Beliau berkata demikian menjawab soalan Jimmy Puah (PH-Tebrau) yang bertanyakan sama ada Kementerian Kewangan sedang mempertimbangkan semula ketetapan caruman wajib KWSP bagi pekerja asing.
Pada Julai, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi mendakwa kerajaan telah bersetuju untuk mengkaji semula caruman KWSP terbabit bagi meredakan kebimbangan dalam kalangan komuniti perniagaan.
