JPJ beri kerjasama penuh kepada PDRM bagi siasatan menyeluruh dan telus kemalangan yang meragut nyawa anggotanya di KM256 Lebuhraya Utara-Selatan malam tadi.
PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan kemalangan yang mengorbankan anggotanya di KM256 Lebuhraya Utara-Selatan malam tadi, dilakukan secara menyeluruh dan telus.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya hasil siasatan mendapati berlaku pelanggaran undang-undang, salah laku atau kecuaian.
“Jika terdapat sebarang pelanggaran undang-undang, salah laku atau kecuaian, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab selaras dengan peruntukan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Loke mengucapkan takziah kepada keluarga Pembantu Penguat Kuasa JPJ Negeri Sembilan Mohd Azrul Rashid Yaakub dan menyifatkan pemergian itu sebagai kehilangan besar, khususnya kepada keluarga dan rakan sekerja yang pernah berkhidmat dengan Allahyarham.
“Pengorbanan dan dedikasi Allahyarham dalam melaksanakan amanah demi keselamatan pengguna jalan raya akan sentiasa dihargai,” katanya yang turut berdukacita dengan kejadian itu.
Dalam pada itu, Loke mendoakan supaya Pemeriksa Kereta Motor JPJ Nor Amirudin Rameli yang mengalami kecederaan parah dalam kejadian itu diberikan kesembuhan dan dipermudah segala urusan sepanjang rawatan.
Beliau berkata Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli telah menziarahi keluarga dua anggota terlibat pada pagi ini bagi menyampaikan ucapan takziah serta memberikan sokongan kepada mereka.
Loke berkata Kementerian Pengangkutan dan JPJ akan terus memberikan perhatian terhadap kebajikan dan keperluan keluarga anggota terlibat termasuk memastikan bantuan sewajarnya disalurkan.
Terdahulu, seorang anggota JPJ dilaporkan maut manakala seorang lagi parah dalam kemalangan membabitkan kenderaan jabatan itu dan dua lori di lebuh raya itu arah selatan berhampiran susur keluar Senawang pada 10.50 malam tadi.
Kejadian berlaku ketika anggota JPJ itu sedang menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah lori di lorong kecemasan sebelum sebuah lagi lori dari arah belakang yang dipercayai hilang kawalan merempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) JPJ dan lori sedang diperiksa.
