KUALA LUMPUR: Semua parti politik perlu duduk bersama bagi menentukan sistem asas percukaian terbaik untuk negara supaya dasar itu tidak berubah setiap kali berlaku pertukaran kerajaan, kata Radzi Jidin (PN-Putrajaya).
Beliau berkata ketidaktentuan antara pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), cukai barang dan perkhidmatan (GST) atau sistem hibrid boleh menyukarkan peniaga merancang serta mengembangkan perniagaan.
Katanya, negara memerlukan sistem asas percukaian yang jelas dan telus serta boleh dikekalkan walaupun kerajaan bertukar, manakala perubahan kadar atau skop cukai boleh dibuat dalam kerangka sistem berkenaan.
Menurutnya, semua parti perlu mengenepikan aspek politik dan mengutamakan kepentingan rakyat demi kepentingan ekonomi jauh ke depan.
“Jika kita menggunakan sistem asas pencukaian sebagai modal politik, saya khuatir setiap kali pilihan raya, kerajaan memperkenalkan sistem asas cukai yang baharu.
"Jika itu berlaku, negara kita tidak akan ke mana,” katanya pada perbahasan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Sehubungan itu, Radzi berkata beliau akan menulis kepada Menteri Kewangan Anwar Ibrahim bagi mendapatkan data berkaitan pelaksanaan GST sebelum ini dan SST ketika ini supaya perbincangan mengenai sistem percukaian dapat dibuat secara profesional dan terbuka.
Menyentuh isu pendatang asing tanpa izin (PATI), Radzi menggesa kerajaan memperkukuh kawalan sempadan, memperketat syarat pengambilan pekerja asing dan menghantar pulang mereka yang kini berada di pusat tahanan imigresen.
Beliau turut mencadangkan operasi penguatkuasaan besar-besaran di seluruh negara menerusi pendekatan menyeluruh melibatkan pelbagai agensi kerajaan, termasuk tentera jika perlu.
Katanya, kerajaan juga perlu mendedahkan kapasiti maksimum pusat tahanan imigresen di seluruh negara serta kadar pengisiannya bagi membolehkan keupayaan menangani isu PATI dinilai.
Mengenai pelarian pula, Radzi mempersoalkan pendaftaran lebih 225,000 pelarian oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), sedangkan menurut jawapan Parlimen yang dirujuknya, kerajaan tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai identiti mereka yang didaftarkan.
Beliau turut mempersoalkan jumlah pelarian yang ditempatkan semula di negara ketiga, yang menurutnya hanya 974 orang sehingga Jun 2026, dan menggesa kerajaan memberi tekanan kepada UNHCR supaya lebih ramai pelarian dipindahkan.
“Tindakan UNHCR mendaftarkan lebih 225,000 orang pelarian dan menempatkan cuma sejumlah kecil daripada mereka ke negara ketiga adalah satu tindakan yang tidak adil untuk Malaysia. Ia seolah-olah meletakkan Malaysia dalam satu perangkap.
“Apakah kerajaan telah memberikan tekanan sewajarnya kepada UNHCR supaya mereka menghantar sebanyak mungkin pelarian yang telah didaftarkan oleh mereka ke negara ketiga?” soalnya.
