PETALING JAYA: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan menggunakan pendekatan '3R' dalam menghadapi PRU16 sebagai sebahagian usaha menambah jumlah wakilnya di Dewan Rakyat, kata Setiausaha Agungnya Armizan Mohd Ali.
Armizan berkata, strategi itu merangkumi retain (pertahankan), regain (raih semula) dan reinforce (perkukuh), dengan gabungan berkenaan terlebih dahulu mahu mempertahankan tujuh kerusi Parlimen dimilikinya ketika ini.
Tujuh kerusi disandangnya kini iaitu Tuaran, Penampang, Ranau, Batu Sapi, Sipitang, Tawau dan Papar.
Ahli Parlimen Papar itu berkata, GRS juga perlu meraih semula kawasan Parlimen yang sepatutnya dari mula menjadi milik gabungan berkenaan dan mempunyai asas sokongan pada PRN Sabah tahun lalu.
Kerusi terbabit adalah Libaran, Kalabakan, Pensiangan, Tenom, Beaufort, Keningau, Kimanis, Putatan, Kota Belud, Kota Marudu, Kudat dan Beluran.
"Kita perlu ‘reinforce’ pendekatan dan strategi untuk memperluas kekuatan di kawasan-kawasan lain,” katanya merujuk kerusi Sepanggar, Kota Kinabalu, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu dan Semporna.
Menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup itu berkata demikian dalam ucapan pembukaan Konvensyen GRS 2026, berlangsung di Kudat, semalam.
Armizan berkata, keperluan menambah kerusi Parlimen bukan sekadar memperkukuh kedudukan GRS, tetapi penting bagi meningkatkan suara Sabah di peringkat nasional.
“Kita mesti mempunyai representasi signifikan dalam kerajaan Persekutuan untuk memperkasakan ‘bargaining power’ kita dalam memperjuangkan kepentingan rakyat dan negeri Sabah.
"Kekuatan dan suara ketua menteri (Hajiji Noor) dan kerajaan negeri perlu dimaknai dengan dukungan Ahli-ahli Parlimen GRS yang lebih ramai," katanya yang sebelum ini menyatakan GRS berpotensi menang lebih 15 kerusi pada PRU16.
Jangkaan itu dibuat berdasarkan simulasi keputusan PRN Sabah, 29 Nov tahun lalu.
Dalam pada itu, Armizan mengingatkan pimpinan dan ahli GRS mengambil pengajaran daripada prestasi gabungan itu pada PRN lalu.
Katanya, GRS sebenarnya berupaya memenangi lebih banyak kerusi, namun beberapa faktor pada saat kritikal menjejaskan prestasinya.
“Bukanlah niat saya menuntut kita menoleh ke belakang, namun amat penting bermuhasabah diri dan mengambil teladan daripada apa yang telah berlaku, bagi mengekang kekhilafan berulang dan memastikan kita lebih kuat melangkah ke depan.
“Kerana tidak boleh dinafikan apa yang telah berlaku telah membawa risiko yang sepatutnya boleh dielakkan lebih awal,” katanya.
