PETALING JAYA: Seorang lelaki direman tujuh hari kerana disyaki membunuh isterinya di sebuah kediaman kakitangan kerajaan dekat Nilai malam tadi.
Ketua Polis Nilai, Johari Yahya dipetik Harian Metro berkata, suspek direman mulai hari ini hingga 22 Okt ini bagi membantu siasatan.
Suspek berusia 30-an itu dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban untuk permohonan reman pagi tadi.
Terdahulu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Alzafny Ahmad dilaporkan berkata, seorang pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) ditemui maut dipercayai dibunuh suaminya di Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Nilai, malam tadi.
Beliau berkata, suspek menyerah diri di balai polis selepas kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
